Malaysia akan benarkan penjualan komersil vaksin COVID-19
Malaysia tidak lama lagi akan membenarkan penjualan vaksin COVID-19 yang dikeluarkan syarikat China, Sinopharm dan Sinovac secara komersil, kata Khairy Jamaluddin pada Jumaat (16 Julai), sedang pihak berkuasa berusaha meningkatkan kadar inokulasi di tengah-tengah lonjakan kes koronavirus.
Vaksin Sinovac Biotech di Beijing, China. (Gambar: REUTERS/Tingshu Wang)
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak lama lagi akan membenarkan penjualan vaksin COVID-19 yang dikeluarkan syarikat China, Sinopharm dan Sinovac secara komersil, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin pada Jumaat (16 Julai), sedang pihak berkuasa berusaha meningkatkan kadar inokulasi di tengah-tengah lonjakan kes koronavirus.
Malaysia mempunyai antara kadar jangkitan koronavirus per kapita tertinggi di Asia Tenggara.
Kadar vaksinasinya juga antara terpantas di rantau ini.
Sekitar 39 peratus penduduk dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Vaksin Sinopharm, yang diluluskan Malaysia pada Jumaat untuk penggunaan kecemasan, tidak lama lagi akan dibuka untuk pembelian peribadi, kata Encik Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, semasa satu sidang media maya.
Sementara itu, vaksin Sinovac akan tersedia secara komersil mulai 1 Ogos, selepas selesai penghantaran sekitar 15 juta dos yang diperolehi kerajaan, katanya.
Malaysia pada Jumaat melaporkan 12,541 kes baru COVID-19, menjadikan jumlah jangkitan kepada 893,323, termasuk 6,728 kematian.
Kerajaan Malaysia sebelum ini telah mengatakan akan berhenti mentadbir vaksin Sinovac selepas bekalannya habis, dan sebaliknya akan bergantung pada vaksin jenis mRNA, Pfizer-BioNTech, untuk program vaksinasi nasionalnya.
Pada Jumaat, Encik Khairy menjelaskan bahawa lebihan bekalan suntikan Sinovac akan tetap tersedia bagi mereka yang mempunyai kebimbangan alahan dengan vaksin lain.
"Tidak ada masalah mengenai keberkesanan Sinovac," tegasnya.
Malaysia akan juga mempertimbangkan untuk membeli lebih banyak dos dari Sinovac sekiranya berlaku kekurangan vaksin AstraZeneca dari negara jiran Thailand, tambah Encik Khairy.
Thailand pada minggu ini menyatakan ia sedang mempertimbangkan untuk menghadkan eksport vaksin AstraZeneca yang dihasilkan secara tempatan untuk melawan krisis COVID-19 di negara itu sendiri, tindakan yang berpotensi mengganggu bekalan kepada negara-negara jirannya.
Encik Khairy menekankan bahawa Malaysia akan mendapatkan jaminan dari Thailand bahawa bekalan tidak akan terganggu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.