Malaysia akan adakan perbincangan dengan Amerika mengenai tarif sektor
Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick, mengenai tarif sektor yang akan dikenakan negara tersebut terhadap sektor tertentu seperti semikonduktor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menghadiri program Ruang Bicara oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena Belanjawan 2026 di Wisma Bernama. (Gambar: Bernama)
Beliau memberitahu Bernama tarif sektor termasuk bagi semikonduktor dan sektor lain, masih belum dibincangkan atau dimuktamadkan mengikut Seksyen 232, Akta Perluasan Perdagangan 1962 AS.
“Tarif terhadap semikonduktor pada masa ini masih pada kadar sifar peratus, sama seperti beberapa sektor lain. Sektor yang kini dikenakan tarif adalah automotif, besi, keluli dan perabot.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Lutnick. Beliau juga akan menghadiri Sidang Puncak Pemimpin-Pemimpin ASEAN minggu depan. Perbincangan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) berhubung dengan perjanjian tarif balasan sedang berjalan,” katanya.
Beliau berkata Timbalan USTR juga akan berada di Malaysia minggu ini.
Pasukan dari Amerika Syarikat sudah tiba pada Ahad (12 Okt) dan kini sedang berunding dengan pasukan Malaysia untuk memuktamadkan perkara tersebut, katanya.
Tengku Zafrul mengesahkan Malaysia dan Amerika Syarikat akan menandatangani Perjanjian Perdagangan Balasan pada Sidang Puncak ASEAN minggu depan.
Perkara itu disuarakan beliau semasa menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara yang dikendalikan Sherkawi Jirim, bagi membincangkan tajuk ‘Memperkasakan Ekonomi & Strategi Rundingan Tarif’, yang diterbitkan Bernama TV pada Selasa.
Mengulas perkara itu, beliau berkata MITI akan berusaha memuktamadkannya.
“Kita telah berbincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu dan akan meneruskan perbincangannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang.
"Perkara penting adalah kita perlu memastikan perjanjian ini turut memberi manfaat kepada syarikat tempatan kita.
“Saya telah diberikan amanah oleh Perdana Menteri, bersama-sama pasukan MITI, untuk berusaha memuktamadkan perjanjian ini kerana mengikut perancangan supaya perjanjian ini ditandatangani semasa Sidang Puncak Pemimpin-Pemimpin ASEAN.
"Beberapa negara, termasuk Malaysia, akan menandatangani perjanjian perdagangan balasan bersama Amerika,” katanya.
Tengku Zafrul berkata antara sektor yang dijangka mendapat manfaat daripada perjanjian itu adalah pertanian, perindustrian dan pembuatan serta sektor yang terlibat dalam perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat.
Beliau berkata perbincangan dengan pentadbiran Encik Trump sebelum ini sudah mencapai persetujuan untuk tidak menyentuh isu sensitif seperti hak bumiputera, pemerolehan kerajaan dan perkara berkaitan sektor halal.
Malaysia juga bersetuju dalam isu yang mempunyai titik persamaan antara kedua-dua pihak, dan negara perlu memastikan sebarang konsesi yang diberikan kepada Amerika Syarikat adalah selaras dengan yang pernah diberikan kepada negara lain sebelum ini.
Beliau berkata Malaysia dan ASEAN juga sudah mencadangkan usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat semasa mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bulan lalu.
“Kita mempunyai Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) dengan Amerika yang kita ingin bincangkan, dan proses itu telah pun bermula.
“Pada masa sama, dari segi pelaburan dan perdagangan, setakat ini belum wujud sebarang kesan negatif terhadap perdagangan dengan Amerika atau pelaburan,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.