Skip to main content

Dunia

Malaysia Airlines catat lonjakan 500% tempahan penerbangan domestik

Syarikat penerbangan Malaysia Airlines menyaksikan lonjakan 500 peratus dalam penempahan penerbangan domestik selepas kerajaan Malaysia membenarkan warga yang sudah lengkap divaksin merentas negeri.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia Airlines catat lonjakan 500% tempahan penerbangan domestik

Pesawat Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. (Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 04:46PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 04:58PM

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan Malaysia Airlines menyaksikan lonjakan 500 peratus dalam penempahan penerbangan domestik selepas kerajaan Malaysia membenarkan warga yang sudah lengkap divaksin merentas negeri.

Larangan merentas negeri ditarik balik selepas Malaysia mencapai kadar vaksinasi 90 peratus bagi penduduk dewasa.

Mereka bagaimanapun diberi amaran untuk terus mematuhi langkah pengurusan selamat.

Di ibu kota Kuala Lumpur, hotel dan restoran sudah mula bersiap sedia untuk menerima para pelancong dari negeri lain.

Dengan kebenaran bagi makan di luar untuk golongan sudah lengkap divaksin, perniagaan mula rancak meskipun tidak sehebat waktu sebelum pandemik.

Yang jelas, rakyat Malaysia mengalu-alukan langkah kerajaan membenarkan mereka merentas negeri setelah berbulan terpaksa berada di rumah.

"Rancangan pertama kami hendak pergi ke Langkawi bersama keluarga. Kami sudah lama tidak bercuti," kata Mohd Shahmi Shazwan, seorang pelajar peringkat kolej.

Bagi ibu bapa Shahmi pula, mereka tidak sabar untuk menziarahi keluarga di kampung.

Kata Sarina Hadan, seorang suri rumah: "Sudah setahun lebih tidak berjumpa jadi kami memang hendak sangat balik sebab sudah lama tidak jumpa ibu bapa kami di Kelantan dan Perak."

Walaupun sijil vaksin tidak wajib bagi perjalanan domestik, hotel, restoran dan kebanyakan tempat hanya menyediakan khidmat kepada mereka yang sudah lengkap divaksin.

Sementara itu, para pengunjung digalak untuk menggunakan kit ujian sendiri sebelum dan selepas perjalanan mereka.

"Sedang kita bergerak keluar pandemik, kita mesti jujur dan bertanggungjawab. Jika polis datang melakukan pemeriksaan dan mendapati anda tidak divaksin dan tidak harus berada di sana, anda akan dipertanggungjawabkan," kata Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaludin.

Dengan 90 peratus penduduk dewasa sudah divaksin dengan semua golongan belia juga serupa pada awal tahun depan, Malaysia sedang membuka semula kegiatan untuk menyelamatkan mata pencarian rakyat serta ekonomi yang teruk terjejas.

Lebih dua juta penduduk Malaysia sudah dijangkiti koronavirus itu.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/RU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita