Makkah ambil langkah bersihkan pelbagai pemandangan yang 'menyakitkan mata'
Beberapa langkah bagi menangani 'pencemaran visual' atau pemandangan yang 'menyakitkan mata' di Makkah - bandar yang dilawati berjuta-juta jemaah Muslim dari merata dunia untuk melakukan ibadah Haji dan Umrah.
Sebuah kawasan di Makkah. (Gambar: Abdullah Al Sudesh/ Facebook)
MAKKAH: Beberapa langkah bagi menangani 'pencemaran visual' atau pemandangan yang 'menyakitkan mata' di Makkah - bandar yang dilawati berjuta-juta jemaah Muslim dari merata dunia untuk melakukan ibadah Haji dan Umrah.
Menurut laporan Saudi Gazette, majlis perbandaran negara itu sudah menurunkan lebih 3,670 papan iklan tidak sah, membersihkan cotengan graffiti di kawasan sepanjang 2,006 meter dan mengalihkan lebih 1,780 kereta rosak yang ditinggalkan di tepi jalan.
Bukan itu sahaja, lebih 5,000 bangunan sementara juga sudah dirobohkan.
Langkah itu sebahagian daripada usaha Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Dalam Negeri bagi memastikan kecantikan tanah suci itu dapat terus dikekalkan. Program tersebut dijalankan dalam tiga fasa bagi memberi para pengunjung gambaran lebih baik terhadap kota-kota Saudi.
Istilah 'pencemaran visual' meliputi sebarang elemen yang menjejas kecantikan landskap negara itu. "Pencemaran ini tidak semestinya berkaitan dengan pencemaran sekitaran, namun yang menjadi isu di sini adalah nilai estetik yang berbeza bagi setiap individu," kata seorang pegawai majlis perbandaran.
Menurut Saudi Gazette lagi, majlis itu juga sudah menurunkan 420 tempat teduh tidak sah bagi penduduk untuk meletak kereta di kawasan perumahan, sekitar 230 wayar elektrik yang berbahaya dan memperbaiki lebih 45,600 meter persegi jalan raya dan laluan jalan.
129 nama jalan dan nombor bangunan juga diperbaiki semetara serpihan yang melingkupi kawasan lebih 227,700 meter padu juga sudah dibuang.
"Kami juga memastikan tiada lagi penjual di tepi jalan di 3,710 tempat di merata bandar, dan merobohkan 3,496 meter persegi tempat pembinaan yang merbahaya. Tambahan lagi, beberapa pokok di sepanjang jalan sudah ditebang, dan ranting pokok juga diperkemas.
"Kami sudah meningkatkan kawasan hijau dan taman kepada lebih 9 juta meter persegi. 4,161 tempat buang sambah juga diletakkan di pelbagai kawasan bandar ini," kata seorang pegawai seperti ditukil Saudi Gazette.
"Secara keseluruhannya, kami sudah menjalankan lebih 20 program bagi mencegah pencemaran visual di Makkah," dedah pegawai itu lagi.
Peraturan dan undang-undang baru juga dikuatkuasakan bagi memastikan kecantikan kota itu. Penyelia inisiatif di kawasan perbandaran itu, Encik Raed Sameer Mumina, mendedahkan majlisnya menubuhkan beberapa pasukan untuk mengadakan pemeriksaan di kawasan itu supaya para pengunjung tidak lagi mempunyai gambaran kurang baik tentang bandar tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.