Skip to main content

Dunia

Makin kurang penebar roti canai di M'sia, pekerjaan tidak lagi dipandang penduduk tempatan

Malaysia bakal berdepan kekurangan penebar roti canai selepas pekerjaan itu tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan pekerja tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal berdepan kekurangan penebar roti canai selepas pekerjaan itu tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan pekerja tempatan.

Isu kekurangan pekerja asing terutama bagi sektor restoran juga menjadikan kerja berkenaan berada pada kelas tersendiri dan hanya dipelopori mereka yang mempunyai minat sahaja, demikian menurut laporan Harian Metro.

Sementara golongan muda hari ini ini lebih menumpukan kepada pekerjaan di dalam gig ekonomi dan berkaitan dengan teknologi serta media sosial yang dilihat lebih mudah.

Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) Amir Syarifuddin Abdul Majid berkata belia pada masa kini kurang berminat untuk menceburkan diri dalam perniagaan roti canai di atas beberapa faktor, seperti dinukil laporan Harian Metro.

Antaranya faktor-faktor yang diberikan adalah perniagaan roti canai dianggap pekerjaan yang biasa-biasa sahaja memandangkan kecenderungan monopoli oleh pemilik restoran asing.

Katanya, sejak dulu lagi, pembabitan belia di dalam cabang perniagaan itu amat kurang biarpun mempunyai permintaan kerana roti canai adalah menu paling digemari khususnya ketika sarapan pagi.

"Faktor ini mendorong belia lebih gemar menceburkan diri dalam bidang lain. Mereka gemar berniaga, mempunyai asas sebagai usahawan, tetapi gemar untuk aktif sebagai usahawan dengan teknologi semasa.

"Kecuali jika ada yang mewarisi perniagaan daripada ahli keluarga. Kalau ada pun, hanya beberapa saja berbanding yang memang ingin menjadi penebar roti canai," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, perubahan persepsi belia pada kerjaya juga berubah disebabkan dorongan pempengaruh di media sosial yang lebih bersifat populis.

Katanya, ia mengundang tanggapan golongan belia bahawa media sosial mampu menjadi platform menjana kekayaan dan kejayaan dengan lebih mudah.

"Justeru, bagi mengimbangi keperluan pada masa depan, pihak berwajib perlu mengetengahkan kemahiran roti canai di dalam jurusan yang berkaitan sebagai salah satu kaedah.

"Sebagai contoh meletakkan modul pembuatan roti canai di dalam silibus pembelajaran kulinari atau katering.

"Selain itu, kita juga perlu mengetengahkan penebar roti canai yang terdiri dalam kalangan belia sebagai ikon keusahawanan yang berjaya. Dengan cara itu, kita bukan saja akan mengekalkan roti canai sebagai menu Malaysia, tetapi juga membangunkan kerjaya berasaskan selera tempatan," katanya seperti dinukil laporan Harian Metro.

Katanya, inisiatif seperti menyediakan pertandingan penebar roti canai wajar diadakan sebagai permulaan untuk mengangkat kerjaya penebar roti canai ini pada masa depan.

Sumber : Agensi berita/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita