Makin banyak negara gantung pesawat Boeing 737 MAX susuli nahas Ethiopian Airlines
Pengawal selia keselamatan penerbangan Kesatuan Eropah sudah menggantung semua penerbangan melibatkan pesawat jenis Boeing 737 MAX.
Gambar fail sebuah pesawat Boeing 737 MAX di Renton, Washington. (Gambar: Reuters)
WASHINGTON: Pengawal selia keselamatan penerbangan Kesatuan Eropah sudah menggantung semua penerbangan melibatkan pesawat jenis Boeing 737 MAX.
Senator Amerika Syarikat, yang mempengerusikan panel yang menyelia bidang penerbangan, juga menyarankan agar Amerika Syarikat mengambil tindakan serupa menyusuli nahas pesawat Ethiopian Airlines, yang meragut nyawa 157 penumpang dan anak kapal.
Britain, Jerman dan Perancis menyertai negara-negara lain untuk menggantung operasi Boeing 737 MAX, menyusuli nahas yang berlaku pada Ahad lalu.
Singapura, India, Australia, Malaysia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengambil langkah yang sama, sekaligus meningkatkan tekanan terhadap Amerika Syarikat untuk melakukan demikian.
Boeing, iaitu syarikat pembuat pesawat terbesar di dunia, mengalami kerugian berbilion-bilion dolar akibat nahas tersebut.
Menurut Boeing, ia memahami mengapa negara-negara lain telah mengambil langkah berkenaan. Namun, ia tetap "yakin sepenuhnya" pada pesawat 737 MAX dengan keselamatan masih menjadi keutamaannya.
Menurut Boeing lagi, Penguasa Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) belum lagi menuntut agar tindakan lanjut diambil berhubung operasi pesawat 737 MAX.
Buat masa ini, punca nahas tersebut masih belum diketahui.
Kemalangan itu menyusuli satu lagi nahas yang melibatkan pesawat 737 MAX, yang berlaku lima bulan lalu di Indonesia. Seramai 189 orang terkorban akibat kemalangan tersebut.
Buat masa ini juga, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa kedua-dua nahas itu ada kaitan antara satu sama lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.