Skip to main content

Dunia

Majoriti perwakilan DAP undi kekal dalam Kabinet PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Majoriti perwakilan DAP undi kekal dalam Kabinet PM Anwar

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke mengundi pada kongres parti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 16 Ogos 2026. Para perwakilan mengundi usul sama ada parti itu harus kekal dalam kerajaan perpaduan. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 16 Aug 2026 07:03PM
  • DAP memutuskan untuk mengekalkan lima menteri penuh dan tujuh timbalan menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan Malaysia selepas pengundian majoriti dalam kongres parti di Putrajaya.
  • Keputusan ini diambil selepas kekalahan besar DAP dalam beberapa pilihan raya negeri, termasuk Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, yang menimbulkan tekanan terhadap kedudukan parti dalam kerajaan.
  • Perwakilan dan pemimpin DAP menekankan pentingnya kestabilan politik, tanggungjawab bersama dalam kerajaan, serta keperluan membina semula kepercayaan pengundi dan memperjuangkan pembaharuan.
  • Walaupun menghadapi cabaran kerjasama dengan parti lain dalam kerajaan, DAP berhasrat menggunakan tempoh mendatang untuk bersuara dan memperkukuh parti sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.
Dijana oleh AI
PUTRAJAYA: Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Ahad (16 Ogos) memutuskan supaya barisan menterinya kekal dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan Malaysia, sekali gus meringankan tekanan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Para perwakilan mengundi dengan majoriti besar semasa Kongres DAP supaya lima menteri penuh dan tujuh timbalan menterinya kekal dalam kerajaan.

Daripada 2,106 undi sulit yang dilaksanakan, 1,857 atau 88.2 peratus mengundi untuk kekal dalam kerajaan, manakala 242 atau 11.5 peratus mahu barisan menteri melepaskan jawatan. Tujuh undi rosak.

Seramai 4,264 perwakilan layak mengundi, dengan 2,223 daripada mereka menghadiri kongres tersebut.

DAP memutuskan untuk mengadakan pengundian itu selepas mengalami kekalahan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November 2025, apabila parti tersebut kalah kesemua lapan kerusi yang ditandinginya.

Kongres itu pada asalnya dijadualkan pada 12 Julai tetapi ditangguhkan disebabkan oleh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, yang menyaksikan jumlah kerusi DAP masing-masing berkurangan daripada 10 kepada enam dan daripada 11 kepada sembilan.

Para penganalisis sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa pengunduran DAP daripada Kabinet akan menimbulkan ancaman serius terhadap pentadbiran Encik Anwar dan bahkan boleh memaksanya mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Anggota Kabinet daripada DAP ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Kabinet Malaysia mempunyai 32 menteri dan 30 timbalan menteri.

DAP mempunyai 40 kerusi Parlimen dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota - jumlah kerusi terbanyak dalam gabungan Pakatan Harapan (PH). PH turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan PM Anwar dan Parti Amanah Negara, yang masing-masing mempunyai 29 dan lapan kerusi.

Walaupun berpendirian berbilang kaum, keanggotaan DAP sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Cina dan parti itu meraih banyak sokongan daripada pengundi bandar di pekan serta bandar raya utama seluruh Malaysia.

Pada awal hari itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan sekali lagi bahawa parti tersebut - yang menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini - adalah untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

“DAP akan kekal sebagai parti berbilang kaum … Ini falsafah paling penting parti. Kita bukan berjuang untuk mana-mana satu kaum, tetapi demi kejayaan rakyat Malaysia dan supaya negara terus maju,” katanya.

Semasa Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR), rakan DAP dalam PH, di Melaka pada hujung minggu ini, Naib Presidennya Amirudin Shari berkata PKR perlu terus mempertahankan pendekatan politik yang adil kepada semua lapisan masyarakat, sambil menghormati kedudukan Islam dan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan mereka berbeza dengan politik identiti dan retorik perkauman gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), yang kembali mendapat sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini menerusi pakatan untuk menyatukan undi Melayu.

Semasa Kongres DAP, Encik Loke turut meminta maaf kerana gagal mempertahankan kerusi Chennah yang disandangnya selama tiga penggal dalam PRN Negeri Sembilan, sambil mengakui parti itu berdepan cabaran besar untuk memenangi sokongan pengundi Melayu.

“Cabaran terbesar kita ialah bagaimana untuk merobohkan tembok ini,” katanya sambil menambah bahawa cabaran tersebut sudah dihadapi parti itu sejak penubuhannya.

Encik Loke berkata berada dalam kerajaan bermakna perlu memikul tanggungjawab bersama terhadap semua keputusan yang tidak popular, yang akhirnya menyebabkan parti itu berdepan pelbagai cabaran, kritikan dan undi protes dalam tiga PRN, termasuk Sabah pada November 2025.

“Saya berharap apa sahaja keputusan yang dibuat perwakilan hari ini, perkara paling penting yang kita mahu lihat ialah perubahan positif di negara kita supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang maju,” katanya sebelum memberi ruang kepada perwakilan DAP yang mewakili kesemua 14 negeri di Malaysia.

Kesemua 14 wakil itu berhujah supaya menteri DAP kekal dalam kerajaan, dengan ramai menekankan keperluan mengekalkan kestabilan politik.

Encik Shakir Ameer Mohideen dari DAP Selangor berkata parti itu sudah berjuang sekian lama dan bersungguh-sungguh untuk berada dalam kerajaan dan “tidak boleh menyerah hanya kerana beberapa kegagalan”.

“Kita pernah melalui keadaan yang jauh lebih buruk pada masa lalu dan mesti terus bertahan,” katanya.

Encik Soo Tien Ren dari DAP Sarawak berkata meninggalkan kerajaan sekarang merupakan satu tindakan “bunuh diri” dari segi politik kerana ia bermakna meninggalkan berjuta-juta rakyat Malaysia yang sudah menaruh kepercayaan kepada mereka.

“Ia bermakna kita meninggalkan tanggungjawab untuk memperbetulkan kesilapan kita sendiri,” katanya, sambil berhujah bahawa parti itu harus berjuang untuk melaksanakan pembaharuan yang diperjuangkannya ketika menjadi pembangkang.

Perwakilan Kuala Lumpur Cik Sangeet Kaur Deo berkata parti itu perlu membina semula kepercayaan dan keyakinan pengundi.

“Bagi terlalu banyak isu, kita berdiam diri kerana tidak mahu menggugat keadaan,” katanya, sambil menambah bahawa sesetengah pengundi mempersoalkan sikap berdiam diri parti itu.

Beliau merujuk kepada keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bagi 47 tuduhan rasuah, selain laporan media yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpakat dengan sekumpulan ahli perniagaan dalam pertikaian korporat. Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan dakwaan tersebut.

Cik Sangeet tidak optimis DAP boleh terus bekerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti tunggak BN yang menurutnya secara terbuka menyerang DAP meskipun kedua-duanya berada dalam kerajaan persekutuan yang sama.

“Hakikatnya, kita tidak boleh bekerjasama dengan rakan gabungan ini, tetapi kita perlu memperkukuh parti dan saya berharap kita akan menggunakan tempoh 18 bulan akan datang untuk bersuara ketika masih berada dalam kerajaan,” katanya. Pilihan Raya Umum Malaysia seterusnya (PRU16) perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028, tetapi boleh diadakan lebih awal.

“Jadi kekallah dalam kerajaan dan bersuaralah selagi kita berada di sana. Dan jika kita terpaksa menjadi pembangkang semula, sekurang-kurangnya kita sudah meletakkan asas dan meraih semula kredibiliti,” kata Cik Sangeet.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita