Majlis Tilawah, Hafaz al-Quran Antarabangsa dibuka rasmi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
(Gambar: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa)
KUALA LUMPUR: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 1444 Hijrah/2022 Masihi bermula malam tadi (19 Okt) hingga Isnin (24 Okt) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataannya memaklumkan, seramai 41 peserta melibatkan 31 buah negara menyertai MTHQA kali ini yang akan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bertarannum.
"Pelbagai pengisian menarik akan disajikan sepanjang MTHQA berlangsung," menurut kenyataan Jakim itu.
Kenyataan Jakim turut memaklumkan Keluarga Malaysia yang ingin menyaksikan MTHQA secara fizikal, dijemput hadir ke Dewan Plenary KLCC bermula 8.45 malam dan tempatnya terhad.
"Saksikan siaran langsung bermula jam 8.45 malam di saluran RTM TV1 dan media sosial rasmi Jakim," menurut Jakim.
Malam tadi, empat peserta memperdengarkan bacaan iaitu dua qari Masoud Noori dari Iran dan Brahim Boughalab (Belgium), serta dua qariah iaitu Nuhuman Nuha (Sri Lanka) dan Yuni Wulandari Hasim (Indonesia).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.