Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Majlis Tertinggi PN setuju pertimbang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada Khamis (24 Nov) bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN mengenai cadangan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan yang diadakan pada Khamis.

"Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mengakhiri kemelut politik negara yang berlaku ketika ini, selepas tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan PRU15 Sabtu lalu menyaksikan Parlimen tergantung apabila Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan