Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Majlis Pemulihan Negara saran M'sia buka sempadan selewatnya 1 Jan 2022

Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini (11 Nov) mencadangkan supaya sempadan Malaysia dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Jan 2022 dalam usaha mempercepatkan pemulihan negara khususnya sektor pelancongan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Pemulihan Negara saran M'sia buka sempadan selewatnya 1 Jan 2022

(Gambar fail: Esmonde Yong/Unsplash)

Diterbitkan : 11 Nov 2021 05:28PM Dikemas Kini : 11 Nov 2021 05:31PM

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini (11 Nov) mencadangkan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Jan 2022 dalam usaha mempercepatkan pemulihan negara khususnya sektor pelancongan. 

Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, akan mengenal pasti negara dengan kadar vaksinasi penduduknya sudah tinggi untuk dibenarkan masuk ke Malaysia.

"Ini perlu diumumkan… mungkin seberapa segera (pembukaan sempadan negara) dilaksanakan. Bila sempadan sudah dibuka, bukan buka semuanya dan orang datang…

“... (tetapi) dia pilih-pilih negara yang sudah berjaya (kawal COVID-19 dan tahap vaksinasi tinggi), maka mereka yang datang dari negara itu sahaja yang dibenarkan masuk ke negara kita," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Bilangan Lima hari ini.

Beliau berkata keputusan membuka sempadan negara juga didorong oleh tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik dan setakat ini, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa telah mencapai 95 peratus manakala golongan remaja mencecah 76.7 peratus.

SEKTOR PELANCONGAN M'SIA PULIH PERLAHAN TANPA PELAWAT ANTARABANGSA

Encik Muhyiddin berkata sektor pelancongan negara menyaksikan pemulihan yang agak perlahan disebabkan ketiadaan kemasukan pelancong antarabangsa selain operator sektor ini memerlukan masa dan sumber untuk memulakan perniagaan mereka.

"Sektor pelancongan kita rugi hampir RM90 bilion (S$29.3 bilion) kalau terus tutup. Ini hasil yang negara dapat daripada industri pelancongan melalui pelawat yang datang dari luar negara," katanya.

Beliau berkata meskipun negara seperti Jerman, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat masih berdepan masalah COVID-19 namun telah membenarkan pelawat dari Malaysia memasuki negara terbabit kerana sebahagian besar penduduk mereka sudah menerima vaksin dos kedua dan sebagainya.

"Jadi, kalau dibandingkan dengan negara seperti itu, kita punya tahap vaksinasi antara yang terbaik di dunia dan kalau begitu, faedah yang patut kita raih daripada tahap vaksinasi yang sudah begitu tinggi ialah membenarkan pelawat asing datang ke negara kita.

"Buka sempadan kita supaya faedah itu akan dapat dinikmati Malaysia tetapi (pada masa sama) sentiasa berjaga-jaga dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti ujian calitan," katanya.

Encik Muhyiddin juga berkata keputusan Malaysia untuk menjalin kerjasama dalam bentuk koridor perjalanan dengan Indonesia seperti diumumkan PM Ismail Sabri pada Rabu adalah satu keputusan yang baik dan terkedepan. 

Beliau berkata pemimpin kedua-dua negara sudah pasti mengambil kira perkembangan termasuk usaha mengawal penularan COVID-19 di negara masing-masing.

Awal dari itu, mesyuarat dimulakan dengan sesi taklimat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkembangan terkini indikator berkaitan COVID-19.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai khususnya dari segi trend penurunan kes positif harian, kes kematian, kemasukan kes COVID-19 kategori tiga hingga lima ke hospital dan kadar vaksinasi," katanya.

Mesyuarat turut diberi taklimat mengenai kedudukan prestasi sektor dan subsektor ekonomi oleh Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin yang menyatakan indikator menunjukkan prestasi ekonomi pada suku kedua tahun ini masih lagi di bawah paras prapandemik untuk hampir kesemua sektor ekonomi kecuali pembuatan.

"Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa prospek ekonomi negara bagi suku ketiga dan keempat tahun ini menunjukkan bahawa keadaan ekonomi masih mencabar," katanya. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan