Skip to main content

Dunia

Majlis Keselamatan Tertinggi Iran luluskan perjanjian baharu dengan IAEA

Majlis Keselamatan Tertinggi (SNSC) Iran memaklumkan bahawa perjanjian baharu yang ditandatangani antara Iran dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sudah diluluskan oleh Jawatankuasa Nuklear majlis itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Keselamatan Tertinggi Iran luluskan perjanjian baharu dengan IAEA

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi bercakap semasa mesyuarat dengan duta-duta negara lain di Tehran pada 12 Julai 2025. (Gamber fail: REUTERS)

TEHRAN: Majlis Keselamatan Tertinggi (SNSC) Iran memaklumkan bahawa perjanjian baharu yang ditandatangani antara Iran dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sudah diluluskan oleh Jawatankuasa Nuklear majlis itu.

Menurut laporan Agensi Berita Republik Islam (IRNA), sekretariat SNSC dalam kenyataannya pada Ahad (14 Sep) memaklumkan bahawa perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dan Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi di Kaherah, Mesir awal minggu ini.

Perjanjian bertarikh 9 September itu merangkumi aturan untuk menyambung semula kerjasama antara Tehran dan IAEA.

Kerjasama itu sebelum ini digantung pada Jun selepas Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas tiga kemudahan nuklear Iran sepanjang perang 12 hari yang dilancarkan Israel terhadap negara itu pada 13 Jun.

“Teks pengaturan telah diteliti oleh Jawatankuasa Nuklear SNSC, dan apa yang ditandatangani adalah pada asasnya sama dengan apa yang telah diluluskan jawatankuasa terbabit,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut menjelaskan Jawatankuasa Nuklear, yang dianggotai pegawai kanan daripada institusi berkaitan, sememangnya diberi kuasa oleh SNSC untuk membuat keputusan. 

Bagi perjanjian baharu tersebut, jawatankuasa berkenaan bertindak mengikut prosedur biasa.

SNSC turut memberi penjelasan ringkas mengenai bentuk kerjasama antara Iran dan IAEA di tiga tapak nuklear - Isfahan, Natanz dan Fordow - yang diserang Amerika Syarikat dan Israel.

Ia menegaskan selepas syarat keselamatan dan perlindungan yang diperlukan dipenuhi, Iran hanya akan menyerahkan laporan kepada IAEA selepas mendapat pandangan SNSC. 

Selain itu, kaedah praktikal kerjasama perlu dipersetujui kedua-dua pihak dan sebarang tindakan mesti mendapat kelulusan SNSC.

Badan keselamatan tertinggi Iran itu juga menegaskan pelaksanaan perjanjian baharu dengan IAEA akan dihentikan sekiranya terdapat sebarang tindakan bermusuhan terhadap Iran dan tapak nuklearnya, termasuk mengembalikan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dimansuhkan di bawah perjanjian nuklear 2015.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita