Skip to main content

Dunia

Majlis Keselamatan PBB undi sokong pasukan pengaman Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
 Majlis Keselamatan PBB undi sokong pasukan pengaman Gaza
Duta Amerika ke PBB Michael Waltz berucap semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB untuk tubuhkan pasukan kestabilan antarabangsa di Gaza, 17 Nov 2025. (Gambar: REUTERS/Eduardo Munoz)
Diterbitkan : 18 Nov 2025 08:36AM Dikemas Kini : 18 Nov 2025 09:47AM
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (17 Nov) mengundi untuk menyokong draf ketetapan Amerika Syarikat yang mengukuhkan pelan damai Gaza usulan Presiden Donald Trump. Pelan itu termasuk pengerahan pasukan pengaman antarabangsa dan laluan ke arah penubuhan negara Palestin di masa depan.

Ketetapan itu menerima 13 undi menyokong, dengan hanya Rusia dan China berkecuali - tetapi tiada veto. Washington menyifatkan undian itu sebagai "bersejarah dan membina".

Duta Amerika ke PBB Mike Waltz berkata ketetapan itu mewakili "langkah penting lain yang akan membolehkan Gaza makmur dan persekitaran yang akan membolehkan Israel hidup dalam keadaan selamat."

Namun, Hamas, yang dikecualikan daripada sebarang peranan tadbir urus di Gaza di bawah ketetapan itu, menyatakan ketetapan tersebut tidak memenuhi "tuntutan dan hak politik dan kemanusiaan" rakyat Palestin.

Teks itu, yang disemak beberapa kali hasil rundingan genting, "menyokong" pelan Presiden Amerika Syarikat. Pelan itu membolehkan gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober di wilayah Palestin yang dilanda perang.

Gaza punah-ranah selepas dua tahun berlaku pertempuran sengit, yang dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Pelan damai itu membolehkan penubuhan Pasukan Pengaman Antarabangsa (ISF) yang akan bekerjasama dengan Israel, Mesir, dan polis Palestin yang baru dilatih untuk membantu mengamankan kawasan sempadan dan melucutkan senjata di Carikan Gaza.

ISF diamanahkan untuk berusaha "melucutkan senjata secara kekal daripada kumpulan-kumpulan bersenjata tidak rasmi," melindungi orang awam, dan memastikan keamanan koridor bantuan kemanusiaan.

LALUAN KE ARAH NEGARA PALESTIN

Ketetapan itu juga membolehkan pembentukan "Lembaga Keamanan" (Board of Peace), sebuah badan tadbir urus peralihan untuk Gaza - yang secara teorinya akan dipengerusikan oleh Encik Trump - dengan mandat berjalan sehingga akhir tahun 2027.

Dalam bahasa yang berbelit-belit, ketetapan itu menyebut tentang kemungkinan penubuhan negara Palestin pada masa akan datang.

Setelah Penguasa Palestin melaksanakan pembaharuan yang diminta dan pembinaan semula Gaza sedang berjalan, "syarat akhirnya mungkin tersedia untuk laluan yang boleh dicapai ke arah penentuan nasib sendiri dan penubuhan negara Palestin," menurut teks itu.

Kemungkinan ini ditolak keras oleh Israel.

Duta Israel ke PBB Danny Danon sebelum undian itu berkata ketetapan itu akan "memastikan Hamas tidak akan menimbulkan ancaman terhadap Israel sekali lagi".

Rusia, yang mempunyai kuasa veto, mengedarkan draf yang bertentangan, sambil menyatakan dokumen Amerika Syarikat itu tidak cukup untuk menyokong penubuhan negara Palestin.

Teks Mosko, yang dilihat oleh AFP, meminta Majlis PBB menyatakan "komitmen teguh mereka terhadap visi huraian dua negara."

Teks Rusia tidak akan membenarkan penubuhan Lembaga Keamanan atau penempatan pasukan pengaman antarabangsa buat masa ini, sebaliknya meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menawarkan "pilihan" mengenai isu-isu tersebut.

Encik Waltz berkata sebelum undian itu bahawa "melengahkan masa akan meragut nyawa."

Amerika Syarikat mendapat sokongan beberapa negara Arab dan majoriti Muslim, menerbitkan kenyataan bersama sokongan terhadap teks itu yang ditandatangani oleh Qatar, Mesir, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Jordan, dan Turki.

Louis Charbonneau, Pengarah PBB di Human Rights Watch, berkata resolusi itu tidak mengurangkan "kewajipan Israel dan sekutunya untuk mematuhi hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa."
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.