Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Majlis Keselamatan PBB kecam pembunuhan wartawan Al Jazeera

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Keselamatan PBB kecam pembunuhan wartawan Al Jazeera

(Gambar: Ozan Kose/AFP)

Diterbitkan : 14 May 2022 10:33AM Dikemas Kini : 14 May 2022 10:33AM

PBB: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (13 Mei) sebulat suara mengecam pembunuhan wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh semasa beliau sedang membuat liputan berita mengenai serbuan tentera Israel di Tebing Barat, menurut para diplomat.

Kenyataan itu -- kata sepakat tentang isu berkaitan Israel yang jarang berlaku -- juga menggesa "siasatan menyeluruh dan telus terhadap pembunuhannya dijalankan dengan serta-merta". 

Menurut diplomat-diplomat yang ditemui dan enggan mendedahkan identiti mereka, rundingan tentang kenyataan itu amat rumit. 

China berjaya menggesa Amerika Syarikat supaya menggugurkan perenggan-perenggan yang mengutuk penganiayaan yang dilakukan terhadap kakitangan media di merata dunia, mempertahankan kebebasan mereka dan menggesa agar mereka dilindungi secukupnya sewaktu membuat liputan mengenai operasi ketenteraan, menurut sumber-sumber diplomat dan versi-versi berbeza kenyataan yang diterima AFP semasa membincangkan isu tersebut. 

Teks terakhir setakat menyatakan bahawa "para wartawan harus dilindungi sebagai orang awam" dan tidak pula menyebut tentang keganasan yang berlaku semasa pengebumian Cik Shireen pada Jumaat (13 Mei). 

Rakaman televisyen menunjukkan keranda yang diusung itu hampir terjatuh apabila para pegawai polis Israel yang bersenjatakan belantan menerpa ke arah mereka, sambil merampas bendera Palestin daripada orang awam yang berkabung.

Cik Shireen, wartawan veteran Al Jazeera, terbunuh semasa membuat liputan tentang pergolakan di kem pelarian Jenin di Tebing Barat. 

Rangkaian media yang berpangkalan di Qatar itu mendakwa bahawa Cik Shireen memang sengaja dijadikan sebagai sasaran tentera Israel. 

Perdana Menteri Israel Naftali Bennett pada awalnya berkata, warga Palestin yang bersenjata "mungkin" bertanggungjawab, namun Israel menarik balik dakwaan itu dan menyatakan bahawa ia sedang menjalankan siasatan. 

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa