Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Majlis Keselamatan PBB gesa Taliban tarik balik dasar halang wanita lanjutkan pengajian ke universiti

Anggaran Waktu Membaca:

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (27 Dis) menggesa Taliban agar menarik balik dasar yang menyekat wanita untuk mengikuti pengajian di universiti.

Majlis yang dianggotai 15 orang itu turut mengecam tindakan menggantung sesi persekolahan untuk gadis Afghanistan serta menuntut penyertaan penuh, sama rata dan bermakna bagi golongan wanita, menurut laporan Agensi Anadolu.

Terdapat laporan bahawa Taliban melarang pekerja wanita yang berkhidmat dengan pertubuhan antarabangsa daripada pergi bekerja. Justeru, Majlis itu menjelaskan tindakan berkenaan akan memberi kesan yang ketara ke atas operasi kemanusiaan di negara itu.

Ketua bantuan PBB Martin Griffiths dalam taklimatnya kepada anggota Majlis Keselamatan PBB minggu lalu memberi gambaran suram tentang situasi kemanusiaan di Afghanistan.

Beliau berkata 97 peratus rakyat Afghanistan hidup dalam kemiskinan dan 20 juta orang berdepan isu kebuluran.

Taliban gagal memenuhi janjinya kepada masyarakat antarabangsa.

Wanita dan kanak-kanak perempuan dilucutkan hak mereka, termasuk hak untuk mendapat pendidikan sejak Taliban kembali berkuasa pada 15 Ogos 2021.

Kanak-kanak perempuan dihalang daripada menghadiri sekolah menengah dan sekolah tinggi.

Ramai wanita menuntut hak mereka dikembalikan dengan turun ke jalan raya, membantah dan menganjurkan kempen.
Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan