Majlis Keselamatan PBB gesa dialog tamat ketegangan Iran-AS
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin (24 Jun) menggesa satu sesi dialog diadakan, bagi menamatkan ketegangan di rantau Teluk.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa satu sesi dialog diadakan. (Gambar: Johannes Eisele/AFP)
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin (24 Jun) menggesa satu sesi dialog diadakan, bagi menamatkan ketegangan di rantau Teluk.
Bagaimanapun, Iran enggan mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat selepas Presiden Donald Trump melaksanakan beberapa sekatan baru ke atas negara itu.
Dalam satu kenyataan sebulat suara yang dilakarkan oleh Kuwait, Majlis Keselamatan PBB mengutuk serangan ke atas beberapa kapal tangki minyak dan menyifatkannya sebagai satu ancaman terhadap bekalan minyak dunia, selain keselamatan dan keamanan dunia.
Selepas mesyuarat itu berlangsung selama dua jam, majlis itu bersetuju dengan satu kenyataan yang tidak menyalahkan Iran, tetapi dengan jelas meminta semua pihak supaya mengelakkan konfrontasi ketenteraan.
Kenyataan oleh Majlis Keselamatan PBB itu dibuat beberapa jam selepas Encik Trump mengenakan beberapa sekatan baru ke atas Iran, yang menyasarkan pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei dan lapan komander negara itu.
Ketika mesyuarat berlangsung secara tertutup atas permintaan Washington itu, Duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravanchi memberitahu para wartawan bahawa keadaan belum sesuai untuk satu dialog diadakan dengan Amerika Syarikat.
“Kamu tidak boleh mengadakan dialog dengan seseorang yang sedang mengancam kamu, yang cuba menakut-nakutkan kamu.
“Suasana yang membolehkan dialog seumpama itu belum sesuai,” kata Encik Majid Takht Ravanchi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.