Majlis Keselamatan PBB bersidang pada 12 Sep bincang pencerobohan dron Rusia di Poland
Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, berdiri di hadapan jet pejuang F-16 Tentera Udara Poland semasa mengadakan sidang media di Lask pada 11 Sep 2025. (Gambar: Agencja Wyborcza.pl/Tomasz Stanczak melalui REUTERS)
Poland juga mengharamkan penerbangan dron di sepanjang sempadan timurnya dengan Belarus dan Ukraine, dan mengehadkan trafik udara di sana selepas menembak jatuh apa yang dikatakan adalah dron Rusia yang mencabuli ruang udaranya pada Rabu (10 Sep).
Poland disokong oleh sekutu-sekutu NATO dalam menembak jatuh dron Rusia - kali pertama anggota perikatan tentera itu melepaskan tembakan semasa perang Rusia di Ukraine - dan Jerman menyatakan pada Khamis (11 Sep) bahawa ia akan mengukuhkan komitmennya di sempadan timur NATO sebagai tindak balas terhadap pencerobohan itu.
Rusia bagaimanapun menegaskan bahawa ia tidak berhasrat untuk menyasarkan mana-mana kawasan di Poland, dan ia tidak akan mengulas lanjut mengenai insiden itu. Seorang komander kanan NATO berkata masih belum diketahui sama ada pencerobohan dron itu disengajakan.
Tetapi insiden itu telah menimbulkan tanda tanya mengenai kesediaan NATO menentang serangan dron, mencetuskan ketegangan dengan Rusia dan mendorong beberapa pemimpin Barat untuk mendapatkan sekatan baharu terhadap Mosko dan mempersoalkan komitmennya terhadap usaha damai di Ukraine.
"Provokasi Rusia ini, seperti yang diketahui oleh jeneral dan askar kami, tidak lebih daripada percubaan untuk menguji keupayaan kami, keupayaan kami untuk bertindak balas," kata Presiden Poland Karol Nawrocki kepada tentera negara itu pada Khamis (11 Sep).
Anggota Majlis Keselamatan PBB Slovenia, Denmark, Greece, Perancis dan Britain meminta badan seramai 15 anggota itu mengadakan perbincangan berhubung insiden itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.