Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Majlis Gerakan Negara antara jalan keluar kemelut politik M'sia: Pengamat

Pengunduran Encik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Isnin (16 Ogos) tidak menandakan bahawa kemelut politik di Malaysia sudah berakhir.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengunduran Encik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Isnin (16 Ogos) tidak menandakan bahawa kemelut politik di Malaysia sudah berakhir.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah, menolak kemungkinan mengadakan pilihan raya umum atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat di tengah-tengah pandemik.

Meskipun keputusan melantik perdana menteri baru bergantung kepada Agong, peletakan jawatan Encik Muhyiddin dijangka akan meningkatkan lagi ketidaktentuan di Malaysia.

Ketika Encik Muhyiddin kekal sebagai perdana menteri sementara, calon penggantinya masih belum jelas.

Namun Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berkata Agong ada satu lagi pilihan. Beliau mempunyai kuasa untuk membentuk sebuah Majlis Gerakan Negara (Mageran), iaitu sebuah majlis bipartisan yang akan mentadbir negara itu sehingga sebuah kerajaan boleh dibentuk.

"Di sini, ahli-ahli parlimen mungkin harus kembali kepada sejarah tersebut yang mana selepas krisis rusuhan kaum pada 1969 ada dibentuk satu badan Majlis Gerakan Negara atau Mageran dan ini juga telah dicadangkan oleh beberapa ahli politik Malaysia - satu badan yang tidak berpihak kepada politik tetapi ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja untuk membantu negara keluar daripada krisis misalnya krisis ekonomi, krisis COVID-19 dan sebagainya," kata Dr Norshahril.

Pembentukan Mageran adalah satu senario yang mungkin berlaku selain pelantikan seorang perdana menteri baru.

Namun ini memerlukan sokongan majoriti 111 ahli parlimen dalam kalangan 222 ahli Dewan Rakyat kerana dua kerusi yang kosong masih belum diisi.

"Menjadi persoalan sekarang ini sama ada, ada tidak seorang individu yang layak mendapat sokongan 111 anggota di dalam parlimen. Jika kita ingat Encik Muhyiddin dahulu juga apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, majoriti beliau dalam parlimen itu sangat tipis. Mentelah lagi situasi sekarang ini. Saya fikir bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu berbincang dengan ahli-ahli parlimen sama ada sokongan diberikan kepada seseorang individu itu wujud atau tidak," jelas Dr Norshahril.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan Encik Muhyiddin bersama parti-parti sekutunya secara mengejut memenangi pilihan raya umum Malaysia pada 2018. Kemenangan mereka menamatkan era pemerintahan Barisan Nasional selama lebih 60 tahun.

Kerajaan Perikatan Nasional kemudian ditubuhkan bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang runtuh pada 24 Februari tahun lalu.

Menurut Dr Norshahril, meskipun Encik Muhyiddin sudah berundur, ini tidak menandakan berakhirnya era parti Pribumi Bersatu pimpinan beliau.

"Kita perlu ingat bahawa parti tersebut masih sebahagian daripada Perikatan Nasional. Dan saya tidak fikir bahawa senario seperti era Barisan Nasional di mana kemenangan dua pertiga di parlimen itu satu yang terjamin seperti era Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang ke-4 dahulu.

"Saya fikir pemerintah seterusnya di Malaysia ini harus berdasarkan koalisi parti-parti lain tetapi yang menarik lagi di Malaysia sekarang ini, juga bergantung kepada individu atau ahli parlimen itu sendiri sama ada mereka kekal dalam parti masing-masing atau ada semacam kesudahan kepada fenomena lompat parti yang berlaku sepanjang beberapa bulan yang sebelum ini.

Beliau percaya Bersatu masih ada peranan tetapi persoalannya adalah bagaimana mereka boleh melaksanakan gabungan dengan parti-parti Melayu yang lain.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan