Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Majlis Eropah tarik balik kempen promosi hijab susuli bantahan Perancis

 Majlis Eropah, badan hak asasi segenap Eropah, menarik balik kempen mempromosikan kepelbagaian dalam kalangan wanita dan kebebasan mereka memakai hijab selepas ia mencetuskan bantahan di Perancis. 

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Eropah tarik balik kempen promosi hijab susuli bantahan Perancis

Wanita-wanita memakai burqa di Kabul, Afghanistan, pada 7 Ogos 2021. (Gambar: Sajjad Hussain/AFP)

Diterbitkan : 04 Nov 2021 08:45AM Dikemas Kini : 04 Nov 2021 08:46AM

STRASBOURG: Majlis Eropah, badan hak asasi segenap Eropah, menarik balik kempen mempromosikan kepelbagaian dalam kalangan wanita dan kebebasan mereka memakai hijab selepas ia mencetuskan bantahan di Perancis.

Kempen online itu yang dibiayai secara bersama oleh Kesatuan Eropah, dilancarkan minggu lalu oleh sebuah institusi berpangkalan di Strasbourg. Kempen tersebut mengundang tentangan daripada kumpulan berhaluan kanan di Perancis yang sedang mempergiatkan kempen menjelang pilihan raya presiden pada musim bunga akan datang.

Gambar-gambar di Twitter menunjukkan dua wanita muda sedang tersenyum dibelah separuh dan dicantumkan kembali untuk menggambarkan seorang dengan rambutnya terdedah serta seorang lagi memakai tudung.

"Kecantikan terletak pada kepelbagaian seperti kebebasan berhijab. Tidakkah bosan jika semua orang kelihatan sama? Raikan kepelbagaian dan hormati hijab," menurut cogan kata pada gambar berkenaan.

Pada awalnya, kempen itu tidak menarik banyak perhatian, namun ia disanggah kumpulan anti-imigresen berhaluan paling kanan yang berusaha untuk menentang Presiden Emmanuel Macron pada pilihan raya presiden tahun depan. Kumpulan itu membantah secara keras pemakaian hijab atau tudung di tempat awam.

"Islam ialah musuh kebebasan. Kempen ini ialah musuh kebenaran," tulis pengulas sayap kanan, Eric Zemmour, di Twitter. Beliau setakat ini belum mengesahkan pencalonannya tetapi beberapa tinjauan pendapat menjangkakan beliau berupaya memasuki pusingan kedua menentang Macron.

"Kempen Eropah mempromosikan hijab ialah suatu skandal dan tidak wajar ketika jutaan wanita sedang berjuang menentang penghambaan," tambah pemimpin berhaluan kanan, Marine Le Pen, pesaing utama Macron pada pilihan raya presiden 2017.

Ketua wilayah Paris, Valerie Pecresse, dari parti berhaluan kanan yang mungkin menjadi pesaing Presiden Macron, turut mengakui "terkejut" dengan penganjuran kempen sedemikian, malah berpandangan bahawa hijab "bukan simbol kebebasan tetapi sebaliknya kepatuhan".

Pemerintah pimpinan Encik Macron turut berpendirian bahawa pihaknya menggesa Majlis Eropah untuk menarik balik kempen berkenaan.

Perancis ialah satu daripada tujuh negara anggota Majlis Eropah yang bertindak sebagai penjaga Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

"Saya amat terkejut. Ia bertentangan dengan nilai yang dipertahankan Perancis, ia mempromosikan pemakaian hijab.

"Ini wajar diselar, malah Perancis sudah menyatakan pendirian jelas penentangannnya yang sangat keras terhadap penganjuran kempen ini, justeru ia wajar ditarik balik dari hari ini," kata Menteri Belia Perancis, Sarah El Hairy sambil mengesahkan Perancis sudah mengemukakan nota bantahan mengikut saluran diplomatik.

"Kami sudah memadamkan mesej-mesej ini (di Twitter) sementara mengkaji semula cara menyampaikan dengan lebih baik projek ini," seorang jurucakap Majlis Eropah memberitahu AFP.

Majlis itu bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada keputusan untuk menarik balik kempen berkenaan dibuat berikutan tekanan daripada Perancis atau sebaliknya.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan