Majlis belia Malaysia tolak cadangan naik umur bersara 65 tahun
Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak bersetuju dengan cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun, dengan alasan ia tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said. (Gambar: Bernama)
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata langkah itu akan mewujudkan implikasi sosioekonomi yang boleh memberi kesan negatif kepada prospek pekerjaan dan pembangunan belia negara, seperti yang dipetik oleh Berita Harian Online.
Selain itu, katanya, peningkatan had umur persaraan secara langsung mengurangkan kadar penggantian pekerja dalam pasaran buruh, sekali gus mengecilkan peluang pekerjaan untuk golongan belia.
"Sebagai contoh, peningkatan usia persaraan dari 55 ke 60 tahun pada 2013 dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu kepada graduan dan pencari kerja muda.
"Dalam konteks semasa, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun dan ramai daripada mereka masih bergelut mendapatkan pekerjaan tetap," katanya melalui kenyataan pada Ahad, seperti dilaporkan Berita Harian Online.
Beliau berkata, cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said itu dilihat sebagai kurang sensitif terhadap realiti jurang antara generasi dalam pasaran kerja.
Katanya, MBM percaya peralihan tenaga kerja antara generasi perlu diurus secara seimbang dan inklusif.
"Ini bukan isu memilih antara yang muda atau yang tua, sebaliknya adalah soal memastikan wujudnya dasar yang adil untuk menjamin keterjaminan ekonomi semua pihak terutama generasi muda yang sedang membina kehidupan dan kerjaya.
"Meningkatkan umur persaraan bukan sekadar soal kemampuan bekerja, tetapi juga soal keadilan ekonomi dan hak generasi muda untuk memperoleh peluang yang saksama," katanya.
Encik Mohd Izzat berkata, MBM berpandangan cadangan berkenaan juga terlalu umum dan cenderung kepada pengalaman penjawat tinggi dalam sektor profesional.
Ini kerana, katanya, tidak semua warga emas berada dalam keadaan fizikal yang membolehkan mereka terus bekerja secara berkesan.
"Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2021), satu daripada tiga individu berusia lebih 60 tahun menghadapi kekangan dari segi keupayaan fizikal,
"Selain itu, mereka juga berisiko mendapat penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung yang semakin meningkat," katanya.
Sebelum ini, Cik Azalina dilaporkan berkata kerajaan wajar mempertimbang had usia persaraan di Malaysia dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun, kerana berpendapat ramai dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif.
Bagaimanapun, kelmarin lebih 15,000 pembaca Berita Harian Online menolak cadangan usia persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun, berbanding 60 tahun ketika ini.
Lebih menarik, kebanyakan pembaca mencadangkan usia persaraan diturunkan kepada 55 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.