Skip to main content

Dunia

Majlis Air Sedunia gesa pemerintah jadikan isu air satu keutamaan

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Majlis Air Sedunia menggesa pemerintah dunia supaya menunjukkan iltizam politik yang teguh untuk menyediakan akses air dan sanitasti kepada semua.

Dalam satu temu bual bersama Mediacorp sempena Hari Air Sedunia pada 22 Mac, presiden majlis itu, Loic Fauchon, berkata bahawa anggota politik harus menjadikan isu jaminan bekalan air sebagai satu keutamaan.

"Kita tahu penyelesaiannya, dari segi teknikal dan digital. Kita tahu apakah itu tadbir urus yang cekap. Tetapi kita perlukan iltizam politik yang teguh. Maksud saya, tekad politik yang kuat untuk menjadikan isu air satu keutamaan," kata Encik Fauchon kepada Mediacorp.

Beliau berada di ibu kota Indonesia, Jakarta menjelang mesyuarat bagi Forum Air Sedunia ke-10.

Acara itu akan diadakan di Bali pada Mei tahun depan.

Hari Air Sedunia 2023 memberi tumpuan kepada usaha mempercepat perubahan dalam mengatasi krisis air dan sanitasi.

"TERLALU BANYAK AIR" DI ASIA TENGGARA

Apabila diminta berkongsi penilaian tentang paras jaminan bekalan air di Asia Tenggara, Encik Fauchon berkata terdapat "keadaan yang sangat berbeza" di rantau itu.

"Sebahagian besar isu utamanya ialah kita mempunyai terlalu banyak air, namun dalam banyak keadaan, kita tidak mempunyai air bermutu," katanya.

"Dengan pertumbuhan demografi, kita akan mula mengalami kekurangan sumber air, oleh itu kita harus mengurusnya dengan lebih baik."

Negara-negara di Asia Tenggara sudah menunjukkan komitmen untuk membaiki jaminan bekalan air dan memberi penyelesaian baru, kata Encik Fauchon.

BAIKI JAMINAN BEKALAN AIR

Meskipun jaminan bekalan air boleh diwujudkan dengan menyediakan lebih banyak sumber air, seperti melalui proses penyulingan atau penggunaan semula air, sasarannya ialah untuk meyakinkan orang ramai dan pihak berkepentingan lain untuk mengurangkan penggunaan air, tambahnya.

Apabila diminta pandangannya tentang sasaran menyediakan akses air dan sanitasi kepada semua menjelang 2030, Encik Fauchon berkata negara-negara harus bertindak menjangkaui sasaran pertubuhan antarabangsa itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) menetapkan sasaran itu kepada pemerintah dan pihak berkepentingan lain.

Bagaimanapun, beliau tidak yakin pemerintah dapat menepati sasaran PBB.

"Saya tidak pasti jika kita boleh mencapai sasaran itu, tetapi akan ada kemajuan".

Ia bergantung kepada bagaimana pemerintah dunia memperuntukkan lebih banyak dana dan dalam sebahagian kes, melakarkan undang-undang baru, katanya.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita