Majikan hadiahkan pembantu rumah Filipina dengan sebuah rumah siap dihias
Seorang pembantu rumah Filipina seolah-olah masih tidak percaya bahawa majikannya di Amiriah Arab Bersatu (UAE) menghadiahkan beliau sebuah rumah yang siap dihias di Filipina.
![Majikan hadiahkan pembantu rumah Filipina dengan sebuah rumah siap dihias Majikan hadiahkan pembantu rumah Filipina dengan sebuah rumah siap dihias](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--J6WQwBDq--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/berita-migration/uae-nanny.png?itok=qvq_olfI)
Cik Dina Tenerife Celo bersama anak majikannya. (Gambar: Facebook / Dina Tenerife Celo)
FILIPINA: Seorang pembantu rumah Filipina seolah-olah masih tidak percaya bahawa majikannya di Amiriah Arab Bersatu (UAE) menghadiahkan beliau sebuah rumah yang siap dihias di Filipina.
Majikannya, Melissa McPike, mendedahkan kepada agensi berita Al Arabiya sebab untuk memberikan pembantu rumah buat sekian lamanya, Dina Tenerife Celo, rumah di Filipina.
"Keperibadian Dina menyerlah dari hari pertama. Beliau amat jujur dan rendah diri," kata Cik McPike.
Hadiah tersebut pada awalnya adalah wang tunai AS$6,261 (S$8,281) yang membolehkan Cik Dina untuk membeli sebidang tanah di Camarines Sur, Filipina.
Cik McPike adalah seorang warga Amerika yang sudah menetap di Abu Dhabi selama 26 tahun. Beliau mempunyai dua anak lelaki - Saed dan Seif Al Muhairi.
Anak sulungnya, Saed, yang berusia 26 tahun, akan menemankan Cik Dina ke Filipina untuk menyelia pembinaan rumah tersebut dan memastikan beliau menggunakan sumber-sumber yang dihadiahkan kepada beliau sepenuhnya.
"Dina amat terharu dan berasa ini pemberian ini terlalu murah hati. Beliau sering mengatakan 'Jangan, ini terlalu banyak','" kata Cik McPike seperti ditukil laporan Al Arabiya.
AS$4,083 (S$5,400) juga disalurkan oleh Saed kepada akaun Dina untuk membiayai kos tambahan. "Kami tidak mahu membina separuh rumah, kami ingin memberikannya rumah yang secukupnya," kata Encik Saed.
"Saya sudah berikan Dina beberapa hadiah sebelum ini, daripada wang tunai ke beg tangan, semuanya diberikan kepada keluarganya. Tetapi kali ini beliau terpaksa menggunakannya untuk dirinya sendiri," jelas Cik McPike pula.
Menurut Cik Dina, impian buat warga Filipina yang menetap di kampung adalah untuk menghuni sebuah rumah yang diperbuat daripada simen, seperti yang dilapor agensi berita Al Arabiya.
Cik Dina diambil sebagai pekerja ketika Saed dan Seif masing-masing berusia enam dan empat tahun. Meskipun Cik Dina terpaksa berpisah dengan keluarga majikannya itu atas syarat-syarat tajaan, beliau akhirnya kembali bekerja dengan keluarga Cik McPike pada tahun 2013.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.