Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Majikan di Johor perlu beri cukup masa untuk solat Jumaat

Anggaran Waktu Membaca:
Majikan di Johor perlu beri cukup masa untuk solat Jumaat

Umat Islam di Malaysia semasa solat Aidilfitri di Masjid Negara di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2016. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

JOHOR BAHRU: Semua majikan di Johor diminta mematuhi titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail agar memberi ruang dan masa mencukupi kepada pekerja beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat apabila penyelarasan semula cuti hujung minggu dilaksanakan bermula 1 Jan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han berkata jika majikan gagal berbuat demikian, tindakan boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

"Seperti yang telah dititah, kami akan adakan sesi libat urus lebih mendalam dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta pemain industri dan pihak majikan dalam waktu terdekat agar titah ini dapat dilaksana dengan efektif. Semua pekerja Muslim perlu diberi ruang dan masa secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam khususnya waktu solat Jumaat.

"Oleh itu, pihak industri dan majikan yang tidak beri ruang secukupnya, dijangka berdepan tindakan," katanya kepada para wartawan selepas program Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di hari ini (8 Okt).

Beliau berkata penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025 di Johor telah disambut baik bukan sahaja oleh golongan pekerja, ibu bapa, tetapi juga sektor swasta dan perbankan di negeri tersebut.

"Pertukaran ini akan meningkatkan produktiviti Johor secara keseluruhan apabila waktu bekerja selari bagi pentadbiran kerajaan dan sektor ekonomi dan perbankan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Selain itu, sektor runcit juga akan terima impak positif apabila ibu bapa dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak pada hari cuti Sabtu dan Ahad," katanya.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail bertitah penyelarasan semula cuti hujung minggu itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata penyelarasan semula cuti hujung minggu itu akan melibatkan kesemua penduduk Johor terutama 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja sektor kerajaan dan swasta.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan