Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahu minta penjelasan Najib tentang wang RM42 juta yang dipindahkan ke akaunnya

Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Dr Shamsul Anwar Sulaiman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini (28 Mei) bahawa beliau akan menghubungi dan meminta penjelasan daripada Encik Najib Razak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Mahu minta penjelasan Najib tentang wang RM42 juta yang dipindahkan ke akaunnya

Encik Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 28 May 2019 10:35PM Dikemas Kini : 28 May 2019 10:40PM

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Dr Shamsul Anwar Sulaiman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini (28 Mei) bahawa beliau akan menghubungi dan meminta penjelasan daripada Encik Najib Razak jika beliau tahu wang RM42 juta (S$13 juta) sudah dipindahkan ke dua akaun peribadi milik bekas perdana menteri itu.

Dr Shamsul Anwar, 58 tahun, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Encik Harvinderjit Singh pada hari ke-19 perbicaraan Encik Najib, yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta (S$13 juta).

Semasa prosiding terakhir, Dr Shamsul Anwar ketika membacakan kenyataan saksinya berkata IPSB memindahkan RM42 juta (S$13 juta) ke dua akaun peribadi Encik Najib tanpa mengetahui bahawa akaun tersebut milik bekas perdana menteri itu.

Saksi ke-37 pendakwaan itu berkata Encik Najib tidak pernah menghubunginya berhubung pembayaran RM27 juta (S$9 juta) dan RM5 juta (S$1.6 juta) pada 26 Dis, 2014 dan pembayaran RM10 juta (S$3 juta) pada 9 Feb, 2015.

Sementara itu, Dr Shamsul Anwar juga mengesahkan bahawa RM143 juta (S$47 juta) yang dimasukkan ke dalam akaun IPSB adalah dari anak syarikat 1MDB.

Saksi itu berkata beliau mendapat tahu perkara itu selepas pengarah SRC International ketika itu Encik Nik Faisal Ariff Kamil menghubunginya menerusi panggilan telefon berhubung keasalan dana tersebut.

Terdahulu, Encik Mohd Nazlan Mohd Ghazali menasihatkan Encik Harvinderjit supaya lebih terperinci dalam soalannya semasa pemeriksaan balas saksi.

Perkara itu dibangkitkan selepas Timbalan Pendakwa Raya Encik V. Sithambaram membantah tentang bagaimana Encik Harvinderjit menjalankan pemeriksaan balas dengan menyatakan bahawa dia sudah membangkitkan terlalu banyak perkara mengenai isu-isu yang tidak berkaitan dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Encik Najib.

"Kami berpendapat bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan pertuduhan terhadap tertuduh.

"Saya berpendapat bahawa perkara itu jauh menyimpang dari pertuduhan. Mungkin Yang Arif boleh mendengar apa yang dinyatakan oleh (Harvinderjit) dan membuat keputusan," kata Sithambaram.

Pada ketika ini, Encik Harvinderjit mempersoalkan kenyataan saksi Dr Shamsul Anwar yang memperincikan kerja dan projek Ihsan Perdana, dan penyata kewangannya.

Peguam itu kemudian memberitahu mahkamah bahawa beliau sedang membincangkan perkara-perkara yang saksi itu sudah memberitahu ketika memberi keterangan.

"Penyediaan penyata kewangan sudahpun digariskan dalam pernyataan saksi. Saya menarik perhatian tentang perkara itu," kata Encik Harvinderjit. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan