Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah umum keputusan kes 1MDB Najib hari ini

Perhatian seluruh negara hari ini (11 Nov) dijangka tertumpu kepada Encik Najib Razak apabila Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya dalam kes berprofil tinggi bekas perdana menteri itu yang berdepan tujuh tuduhan menyeleweng RM42 juta (S$13.8 juta) dari dana SRC International Sdn Bhd.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah umum keputusan kes 1MDB Najib hari ini

Mantan perdana menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 Nov 2019 08:49AM Dikemas Kini : 11 Nov 2019 08:55AM

KUALA LUMPUR: Perhatian seluruh negara pada hari ini (11 Nov) dijangka tertumpu kepada Encik Najib Razak apabila Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menyampaikan keputusannya dalam kes berprofil tinggi bekas perdana menteri itu yang berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta (S$13.8 juta) daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Encik Najib, 66 tahun, berkhidmat sebagai perdana menteri keenam Malaysia dari April 2009 hingga Mei 2018, dan merupakan perdana menteri pertama negara itu yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadual mengumumkan keputusannya pada jam 10.00 pagi.

Mahkamah akan menentukan sama ada untuk memerintahkan Encik Najib membela diri, atau membebaskannya daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.

Sekiranya Encik Najib diperintahkan membela diri, beliau perlu menjawab pertuduhan terhadapnya.
Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai tiga pilihan untuk membela diri.

Pilihan-pilihan itu adalah: memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi, yang mana beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Keterangan dari tempat duduk saksi akan lebih meyakinkan mahkamah berbanding dua pilihan lagi. Jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.

Hakim Mohd Nazlan sebelum ini menetapkan 3 dan 4 Disember, 9 hingga 12 Disember dan 16 hingga 19 Disember untuk Encik Najib membela diri jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan sudah mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pada 22 dan 23 Oktober lalu, mahkamah mendengar penghujahan panjang lebar daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan. Pendakwaan, pada 27 Ogos lepas, menutup kes selepas perbicaraan selama 58 hari dan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas selain dianggotai Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram, manakala Encik Muhammad Shafee Abdullah pula mengetuai kumpulan peguam bela.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan