Mahkamah tolak rayuan wanita yang dedah cerita seks pengetua sekolah
Mahkamah Agung Indonesia menolak rayuan seorang wanita yang dijatuhi hukuman penjara selepas mendedahkan perbuatan tidak senonoh majikannya.
Baiq Nuril Maknun. (Gambar: AFP/Pikong)
JAKARTA: Mahkamah Agung Indonesia menolak rayuan seorang wanita yang dijatuhi hukuman penjara selepas mendedahkan perbuatan tidak senonoh majikannya. Ini sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Mahkamah tersebut pada Khamis (4 Jul) menolak permohonan Baiq Nuril Maknun setelah dia gagal mengemukakan bukti baru. Dia sebelum itu didapati bersalah melanggar undang-undang yang dianggap kontroversil, iaitu menyebarkan maklumat tidak senonoh.
Justeru, mahkamah mengekalkan hukuman denda 500 juta rupiah (S$48,000) dan penjara enam bulan ke atas Baiq.
“Permohonan agar proses kehakimannya disemak semula ditolak kerana dia sudah melanggar undang-undang dan ia sudah dibuktikan,” menurut jurucakap mahkamah, Encik Abdullah.
Pada 2012, Baiq merakamkan perbualan antara pengetua sekolah di tempat dia bekerja dengan rakannya, mengenai perkara-perkara seksual dengan ketara mengenai hubungan sulitnya dengan seorang lagi rakan sekerja. Lelaki terbabit pengetua sekolah tempat Baiq mengajar.
Baiq bersetuju untuk menyiarkan rakaman itu, selepas rakan sekerjanya yang bertugas di bahagian pentadbiran sekolah, meyakinkannya untuk berbuat demikian bagi mendedahkan perilaku tidak senonoh pengetua sekolah itu.
Sebelum ini, mahkamah tempatan di Lombok, iaitu lokasi sekolah terbabit, membebaskan beliau atas tuduhan itu, namun mahkamah lebih tinggi Indonesia mengubah keputusan itu.
Baiq kemudiannya didapati bersalah kerana melanggar undang-undang maklumat elektronik.
Sementara itu, peguamnya, Encik Joko Jumadi, berkata anak guamnya amat kecewa dengan keputusan mahkamah itu.
“Baiq enggan berhenti daripada berjuang kerana jika berbuat demikian, beliau khuatir ia akan menyebabkan mangsa-mangsa lain takut untuk mempertahankan kebenarannya," dedahnya kepada AFP.
“Kami sudah menggunakan segala prosedur perundangan dan kini kami berharap Presiden Joko Widodo akan berbuat sesuatu mengenainya,” kata Encik Joko.
Pada November lalu, Presiden Indonesia itu menyatakan kebimbangannya mengenai kes membabitkan Baiq dan berkata sekiranya Mahkamah Agung menolak rayuannya, wanita itu boleh memohon pengampunan.
Hukuman yang dijatuhkan atasnya diselar oleh kumpulan hak asasi manusia dan para penyokong menubuhkan satu rayuan untuk membiayai kos guamannya tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.