Mahkamah tolak permohonan Najib kemuka bukti baru
(Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak gagal dalam usahanya untuk mengemukakan bukti baru dalam kes SRC International Sdn Bhd bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$64.6 juta).
Ini selepas panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu setelah mendengar hujahan peguam utama Encik Najib, Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram.
Bukti tambahan yang ingin dikemukakan Encik Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan.
Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Tengku Maimun berkata tiada kaitan antara pekerjaan Mohd Nazlan di bank sebelum ini dengan pertuduhan Encik Najib, justeru beliau memerintahkan supaya rayuan utama diteruskan.
Panel hakim terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.