Skip to main content

Dunia

Mahkamah tolak permintaan siasat senario alternatif nahas MH17

Para hakim yang mendengar kes terhadap empat orang defendan dalam perbicaraan kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014 menolak permintaan para peguam bela pada Rabu (25 Nov) untuk diberikan lebih masa untuk menyiasat penjelasan alternatif berhubung nahas itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tolak permintaan siasat senario alternatif nahas MH17

Pesawat MH17 yang ditembak jatuh. (Gambar: Alexander Khudoteply/AFP)

Diterbitkan : 26 Nov 2020 08:33AM Dikemas Kini : 26 Nov 2020 08:37AM

AMSTERDAM: Para hakim yang mendengar kes terhadap empat orang defendan dalam perbicaraan kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014 menolak permintaan para peguam bela pada Rabu (25 Nov) untuk diberikan lebih banyak masa untuk menyiasat penjelasan alternatif berhubung nahas itu.

Pesawat MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh oleh peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia semasa bertempur dengan tentera Ukraine, menurut para penyiasat antarabangsa. Kesemua 298 orang yang berada di dalam pesawat malang itu terbunuh, dua pertiga daripadanya adalah warga Belanda.

Setelah bertahun-tahun mengumpul bukti, Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) antarabangsa yang diterajui oleh Belanda pada tahun lalu mendedahkan bahawa pelancar peluru berpandu yang digunakan untuk menembak pesawat tersebut adalah dari sebuah pangkalan tentera Rusia yang terletak di seberang sempadan.

Pemerintah Belanda menuduh Moscow bertanggungjawab dan tiga warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine dibicarakan atas tuduhan membunuh.

Tiada suspek yang berada dalam tahanan. Salah seorang daripada mereka, warga Rusia Oleg Pulatov, diwakili peguam dalam prosiding mahkamah; tiga yang lain dibicarakan dalam keadaan tidak hadir.

Rusia sudah berkali-kali menafikan negara itu terbabit dalam insiden tersebut dan ia juga sudah mengusulkan pelbagai teori alternatif, yang kesemuanya ditolak oleh para penyiasat sebagai teori yang tidak disokong oleh bukti.

Hakim Hendrik Steenhuis berkata para peguam bela belum lagi memberikan senario alternatif yang jelas untuk disiasat, meskipun maklumat mengenai beberapa penjelasan lain sudahpun difailkan.

Hakim Steenhuis berkata mahkamah mahu mendengar sendiri keterangan Pulatov dan mahkamah tersebut tidak akan mengemukakan soalan bertulis kepadanya seperti yang diminta oleh para peguamnya.

Beliau menambah bahawa mahkamah juga mahu mendengar sendiri keterangan daripada suspek-suspek lain - Sergey Dubinsky dan Igor Girkin dari Rusia dan Leonid Kharchenko dari Ukraine - yang tidak pernah bekerjasama dengan pihak mahkamah.

Perbicaraan kes tersebut akan disambung semula pada 1 Februari 2021.

Bulan lalu, Rusia menarik diri daripada perbincangan dengan Belanda dan Australia berhubung tanggungjawab ke atas nahas itu.

Rusia menuduh kedua-dua negara itu tidak berminat untuk membuktikan kebenaran dan sebaliknya setakat mahu memulakan prosiding undang-undang terhadapnya.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita