Skip to main content

Dunia

Mahkamah tolak permintaan Muhyiddin dapatkan pasport untuk ke Bangkok

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan membantah permohonan mantan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan pasport antarabangsa beliau buat sementara untuk ke Bangkok, Thailand pada 15 Februari.

Menerusi afidavit balasan pihak pendakwaan terhadap permohonan itu yang diperolehi media, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong berkata, berdasarkan tiket penerbangan, Encik Muhyiddin akan bertolak ke Bangkok pada pukul 4.20 petang.

Encik Wai Keong berkata, tujuan perjalanan Encik Muhyiddin yang dinyatakan ialah untuk mengukuhkan dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan kenalan, serta menghadiri acara pembukaan sebuah restoran yang diberi nama Phrigkiao, lapor Sinar Harian.

“Alasan-alasan tersebut adalah tidak munasabah dan tiada keperluan mendesak yang mewajarkan pelepasan pasport sementara kepada pemohon dan alasan-alasan yang dikemukakan pemohon tanpa ada keterangan sokongan dalam afidavit,” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Sesyen menetapkan 15 Februari untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi menangguhkan perbicaraan membabitkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta (S$57 juta) yang dihadapi Encik Muhyiddin, dan permohonan beliau untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.

“Kehadiran pemohon pada prosiding itu adalah wajib. Perkara ini ada dalam pengetahuan penuh pemohon tetapi pemohon masih membuat tempahan tiket penerbangan pada tarikh tersebut,” katanya.

Selain itu, Encik Wai Keong berkata, risiko Encik Muhyiddin untuk melarikan diri masih wujud kerana masih berdepan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram dan pasport antarabangsanya tidak boleh dilepaskan kepada beliau.

“Seorang kenalan rapat saya yang juga warganegara Malaysia baru buka sebuah restoran masakan Thai. Restoran tersebut mahu dirasmikan dan mereka menjemput saya bagi acara pembukaan tersebut sebagai tanda penghargaan, sebagai pemimpin negara Malaysia,” kata Pengerusi Perikatan Nasional itu.

Menurut Encik Muhyiddin, lawatan itu perlu kerana beliau juga akan menziarahi ahli perniagaan Malaysia di Thailand bagi membincangkan hal-hal perniagaan yang menguntungkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Selain itu, beliau akan melawat beberapa pemimpin, pemikir dan tokoh masyarakat Islam di Bangkok bagi kesinambungan hubungan di luar lingkungan kerajaan, seperti dinukil laporan Sinar Harian.

Encik Muhyiddin, 76 tahun, berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta (S$55 juta) daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur antara 25 Februari hingga 16 Julai 2021, serta 8 Februari hingga 8 Julai 2022.

Encik Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta (S$1.4 juta) dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita