Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Tinggi tolak permohonan ikat jamin CEO GISBH, 12 individu lain

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini (24 Mac) menolak permohonan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan 12 individu lain yang berdepan tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, untuk dibenarkan ikat jamin.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Tinggi tolak permohonan ikat jamin CEO GISBH, 12 individu lain

Mahkamah Tinggi tolak permohonan ikat jamin CEO GISBH dan 12 individu lain. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Mar 2025 06:50PM Dikemas Kini : 24 Mar 2025 06:52PM
KAJANG: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini (24 Mac) menolak permohonan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan 12 individu lain yang berdepan tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, untuk dibenarkan ikat jamin.

Selain Nasiruddin, 66 tahun, mereka adalah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 33; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan lapan wanita iaitu isteri Nasiruddin Azura Md Yusof, 58; Nurul Jannah Idris, 29; Nur Jannah Omar, 33; Siti Salmiah Ismail, 58; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; dan Mahani Kasim, 55; diikat jamin RM40,000 dengan dua orang penjamin.

Hakim Latifah Mohd Tahar yang membuat keputusan itu berkata mahkamah menolak permohonan Nasiruddin dan 12 lelaki terbabit, atas alasan pemohon gagal memenuhi mana-mana syarat seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Bagi tujuh pemohon iaitu Nasiruddin, Mokhtar, Hasnan, Mohd Fazil, Shuhami, Muhammad Zahid dan Mohd Shukri, hakim itu berkata mereka bukan bawah umur 18 tahun dan tidak tergolong dalam kategori pengecualian seperti yang termaktub dalam seksyen tersebut, selain tiada keterangan mencukupi dalam afidavit pemohon yang menunjukkan mereka mempunyai masalah kesihatan.

"Kebanyakan pemohon memberitahu mempunyai penyakit antaranya kencing manis dan tekanan darah tinggi serta mengambil ubat-ubatan yang disediakan pihak perubatan. Laporan kesihatan terkini yang disediakan pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Penjara Sungai Buloh menunjukkan keadaan kesihatan pemohon adalah stabil.

"Semasa hadir membuat pemeriksaan kesihatan, pemohon mampu berjalan sendiri tanpa kecacatan, tidak menunjukkan tanda-tanda kesukaran bernafas dan boleh menjalani kehidupan harian dengan berdikari," kata hakim itu pada prosiding yang dijalankan di Kompleks Penjara Kajang.

Hakim Latifah berkata bagi enam pemohon lain pula, tiada keterangan dalam afidavit pemohon yang menunjukkan mereka sakit atau uzur manakala laporan kesihatan terkini mendapati mereka berada dalam keadaan baik serta stabil dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik serta boleh menjalani aktiviti harian secara berdikari.

Dalam pada itu, Hakim Latifah yang membenarkan permohonan lapan wanita itu berkata mereka tergolong di bawah kategori pengecualian termaktub di bawah Seksyen 13(2)(b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

"Tiada keterangan dalam afidavit jawapan responden (pendakwa raya) yang menunjukkan bahawa pemohon-pemohon mempunya risiko untuk melarikan diri. Dalam afidavit tersebut hanya menyatakan terdapat risiko kebarangkalian yang amat tinggi untuk pemohon-pemohon berhubung atau berjumpa dengan saksi-saksi atau mangsa, yang dikhuatiri mereka berpotensi untuk dipengaruhi oleh pemohon-pemohon.

"Bagaimanapun, pemohon-pemohon telah memberi aku janji untuk tidak berjumpa atau berhubung dengan saksi-saksi, sekiranya jaminan diberikan.

Mengambil kira alasan ini, mahkamah menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan dalam akta tersebut (SOSMA) membenarkan jaminan kepada kesemua pemohon," kata hakim itu lagi.

Sehubungan itu, Hakim Latifah membenarkan kesemua pemohon masing-masing diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali, sehingga perbicaraan selesai dan perlu hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang mahkamah tetapkan.

"Selain itu, pemohon tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi sepanjang tempoh jaminan dan sekiranya pemohon sakit pada tarikh yang ditetapkan, penjamin perlu hadir ke mahkamah untuk mengemukakan cuti sakit daripada hospital dan klinik kerajaan.

"Sekiranya gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan itu, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap, wang jaminan boleh dirampas atau dinaikkan dan dibatalkan serta boleh dipenjarakan sehingga kes selesai," katanya lagi.

Pada 23 Okt 2024, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan dengan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.

Pada 13 Jan, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Hamimah Yakub, 73, diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin, serta syarat tambahan antaranya dilarang mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang setiap dua minggu sekali sehingga perbicaraan selesai.
Sumber : Bernama/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan