Skip to main content

Dunia

Mahkamah Tinggi Malaysia arah Rosmah Mansor bayar RM67.5 juta bagi 43 utas barang kemas yang hilang

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Tinggi Malaysia arah Rosmah Mansor bayar RM67.5 juta bagi 43 utas barang kemas yang hilang

Rosmah Mansor. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Jun 2026 07:04PM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu (10 Jun) mengarahkan Rosmah Mansor untuk membayar RM67.5 juta (S$21.3 juta) kepada Global Royalty Trading SAL iaitu syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan, berhubung kehilangan 43 utas barang kemas dalam tempoh sebulan, bermula Rabu.

Hakim Quay Chew Soon mengeluarkan perintah itu, selepas membenarkan saman yang difailkan oleh Global Royalty terhadap Rosmah.

Hakim turut memerintahkan isteri kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak itu membayar kos RM75,000 (S$23,740) masing-masing kepada Global Royalty serta pihak ketiga, iaitu Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah dengan mendakwa dia secara palsu menyatakan bahawa 44 utas barang kemas, termasuk rantai leher berlian, gelang tangan dan tiara yang dihantar kepadanya oleh ejen syarikat itu, disita oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa hanya satu daripada 44 utas barang kemas berkenaan disimpan oleh polis, manakala baki 43 utas lagi tidak berada dalam jagaan pihak berkuasa.

Global Royalty turut menegaskan bahawa Rosmah meletakkan tanggungjawab terhadap kehilangan barang kemas tersebut kepada kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya hilang.

Hakim Quay, yang menyampaikan keputusan pada Rabu menerusi Zoom, mengarahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan, beserta faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dibuat.

Hakim itu turut menolak tuntutan Rosmah untuk mendapatkan tanggung rugi daripada pihak ketiga.

Hakim Quay berkata mahkamah mendapati Rosmah gagal melaksanakan obligasinya sebagai pemegang amanah barang, sambil menegaskan bahawa kegagalan memulangkan barang kemas tersebut merupakan bukti prima facie berlakunya kecuaian.

Beliau berkata Global Royalty tidak menanggung beban untuk membuktikan secara terperinci bagaimana barang kemas itu hilang ketika berada dalam jagaan defendan.

Hakim itu turut menyatakan bahawa defendan tidak boleh sekadar merujuk kepada serbuan polis, kemungkinan penyitaan atau mendakwa pengawal peribadinya telah mengendalikan beg yang mengandungi barang kemas tersebut, bagi melepaskan beban undang-undang yang dipikulnya.

Hakim Quay berkata defendan secara konsisten menegaskan dalam keterangannya bahawa barang kemas tersebut dihantar kepadanya untuk tujuan tontonan dan publisiti.

Beliau berkata walaupun didakwa barang kemas tersebut sudah disita oleh polis semasa serbuan pada 2018, keterangan yang dikemukakan hanya membuktikan satu fakta dengan pasti.

“Iaitu, satu utas barang kemas akhirnya dikenal pasti semasa prosiding pelucut hak dan dipulangkan kepada plaintif. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa baki 43 utas barang kemas itu pernah disita oleh PDRM,” katanya.

Hakim itu berkata satu aspek penting dalam pembelaan defendan gagal dipertahankan berikutan kegagalannya memanggil saksi-saksi material yang didakwa terlibat dalam pengendalian, penyimpanan berkunci, pembungkusan, penjagaan keselamatan dan pergerakan barang kemas tersebut.

Beliau berkata defendan cuba bergantung kepada “anggota keselamatan”, “pengawal peribadi”, “kakitangan”, “butler” dan individu lain yang tidak dikenal pasti, bagi menjelaskan bagaimana barang kemas itu dibungkus, bagaimana beg-beg tersebut dikunci dan dipindahkan, siapa yang mengendalikan kunci semasa pemindahan barang dari Sri Perdana, Putrajaya ke Pavilion 45 di sini, serta bagaimana barang kemas itu dijaga sebelum serbuan PDRM.

“Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada saksi material tersebut dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan,” katanya.

Peguam David Gurupatham mewakili syarikat berkenaan, manakala Rosmah diwakili peguam Rajivan Nambiar. Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin pula bertindak bagi pihak Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Encik Rajivan ketika dihubungi berkata anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut serta memohon penangguhan pelaksanaan keputusan yang dibuat pada Rabu.
 
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita