Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Tinggi Malaysia akan putuskan nasib Najib Razak pada 30 Okt

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Tinggi Malaysia akan putuskan nasib Najib Razak pada 30 Okt

(Gambar fail: Mohd RASFAN / AFP)

Diterbitkan : 29 Oct 2024 10:14PM Dikemas Kini : 29 Oct 2024 10:42PM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi esok (30 Okt) akan memutuskan sama ada mantan Perdana Menteri Najib Razak akan dibebaskan atau diperintah untuk membela diri atas empat tuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dijadual akan membaca keputusan berkenaan pada pukul 9.00 pagi esok.

Pada 30 Mei lalu, pihak pendakwa menutup kes mereka selepas memanggil 50 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun, bermula 28 Ogos 2019.

Antara saksi utama yang dipanggil semasa perbicaraan termasuk mantan Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, mantan ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, mantan pengerusi 1MDB Mohamad Bakke Salleh, dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan serta Pegawai Penyiasat SPRM Supt Kanan Nur Aida Ariffin.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar dan Ahmad Akram Gharib manakala Najib diwakili peguam, Muhammad Shafee Abdullah.

Najib pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 Sep 2018, dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2018.

Najib, 71 tahun, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Mantan menteri kewangan itu berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Bagi 21 tuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Mantan Ahli Parlimen Pekan itu telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sep 2022 yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Selain kes 1MDB dan SRC, Najib juga berdepan tuduhan pengubahan wang haram tambahan melibatkan RM27 juta daripada SRC International dan kes berkenaan telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 19 Mei tahun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy.

Najib juga dituduh bersama bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam enam tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan RM6.6 bilion dalam dana kerajaan berkaitan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 14 Nov ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan