Skip to main content

Dunia

Mahkamah tentera Pakistan jatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap bekas ketua perisik Faiz Hameed

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tentera Pakistan jatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap bekas ketua perisik Faiz Hameed
Askar tentera berjalan kaki, selepas pengebom nekad sasarkan ibu pejabat pasukan separa tentera Pakistan di Peshawar, Pakistan pada 24 Nov 2025. (Gambar: REUTERS/Fayaz Aziz)
Diterbitkan : 12 Dec 2025 09:11AM Dikemas Kini : 12 Dec 2025 09:12AM
ISLAMABAD: Mahkamah tentera pada Khamis (11 Dis) menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas bekas ketua perisik Pakistan, lebih setahun selepas prosiding mahkamah tentera bermula terhadapnya atas pelbagai pertuduhan, termasuk terlibat dalam kegiatan politik dan melanggar Akta Rahsia Rasmi, kata pihak tentera.

Dalam satu kenyataan, ia menyatakan Mahkamah Tinggi Tentera membicarakan bekas Ketua Pengarah Perisikan Antara Perkhidmatan (ISI), Leftenan Jeneral bersara Faiz Hameed, di bawah Akta Tentera Darat Pakistan semasa prosiding yang berlangsung selama 15 bulan.

“Tertuduh dibicarakan atas empat pertuduhan berkaitan dengan pelibatan dalam kegiatan politik, pelanggaran Akta Rahsia Rasmi yang memudaratkan keselamatan dan kepentingan negara, penyalahgunaan kuasa dan sumber pemerintah, dan menyebabkan kerugian yang tidak sepatutnya kepada beberapa individu,” jelas kenyataan itu.

Pihak tentera berkata mahkamah mendapati Hameed bersalah atas semua tuduhan tersebut selepas prosiding undang-undang yang “berpanjang dan sulit” dan menjatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun. Ia menyatakan mahkamah tentera mematuhi semua kewajipan undang-undang dan Hameed diberikan hak pembelaan penuh, termasuk peguam pilihannya.

Hameed berhak untuk merayu keputusan itu di hadapan forum yang berkaitan, katanya.

Pihak tentera tidak memberikan butiran tambahan, tetapi Hameed dikenali ramai sebagai rakan rapat kepada bekas Perdana Menteri Imran Khan yang dipenjarakan, yang sedang menjalani pelbagai hukuman atas tuduhan rasuah dan tuduhan lain sejak beliau ditangkap pada tahun 2023.

Khan disingkirkan dalam satu undi tidak percaya pada April 2022.

Hameed ditahan pada tahun 2024 susulan siasatan dalaman yang diperintahkan oleh Mahkamah Agung Pakistan terhadap dakwaan yang berkaitan dengan apa yang dikenali sebagai penipuan projek Top City. Syarikat Top City membangunkan tanah berhampiran Islamabad untuk projek perumahan swasta.

Sejak penangkapannya, baik tentera mahupun pemerintah tidak mendedahkan secara terbuka tuduhan khusus terhadapnya.

Penangkapan seorang pegawai bersara berprofil tinggi tahun lalu mengejutkan ramai di Pakistan, di mana tentera mempunyai pengaruh yang besar dan di mana penahanan pegawai kanan atau bekas tentera jarang berlaku.
 
Sumber : AP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita