Mahkamah tegas Najib perlu hadir setiap prosiding kes
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak perlu menghadiri setiap prosiding mahkamah termasuk pengurusan kes bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di negara itu, hari ini (31 Okt).
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bercakap kepada Reuters dalam wawancara pada 19 Jun 2018. (Gambar fail: Edgar Su/Reuters)
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak perlu menghadiri setiap prosiding mahkamah termasuk pengurusan kes bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di negara itu, hari ini (31 Okt).
Encik Najib berdepan dengan tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang berjumlah RM42 juta (S$13.9 juta) hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mohd Hazlan Mohd Ghazali berkata tertuduh (Najib) perlu hadir di mahkamah bagi membolehkan beliau mengikuti prosiding kesnya.
“Saya fikir dia (tertuduh) perlu berada di sini (mahkamah), jika perkara itu tidak dipertikaikan, maka mahkamah boleh mempertimbangkan. Sekurang-kurangnya tertuduh boleh terus mengikuti prosiding itu,” katanya.
Mohd Nazlan membuat keputusan tersebut selepas menolak permohonan peguam utama Encik Najib, Muhammad Shafee Abdullah, supaya anak guamnya dikecualikan daripada menghadiri pengurusan kes yang ditetapkan pada 29 November ini.
Peguam itu meminta mahkamah mengecualikan anak guamnya daripada menghadiri prosiding akan datang kerana pada kebiasaannya pengurusan kes hanya melibatkan pihak pendakwa dan peguam.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Abdullah, yang dilantik oleh Jabatan Peguam Negara untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan jenayah Najib, menegaskan bahawa mantan perdana menteri itu harus hadir untuk prosiding terhadapnya.
Terdahulu, Encik Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan sudah menyerahkan 29 jilid dokumen berkaitan kes itu mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak pembelaan pada 18 Oktober lalu.
Peguam Harvinderjit Singh, yang turut mewakili Encik Najib, bagaimanapun, berkata pihak pembelaan masih belum menerima kenyataan yang dirakamkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada semua saksi.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama (29 Nov) untuk mendengar notis usul oleh pihak pembelaan berhubung penghantaran dokumen SPRM tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.