Skip to main content

Dunia

Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan Ahmad Zahid bebas 40 kes rasuah

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan Ahmad Zahid bebas 40 kes rasuah

Gambar fail: Fadza Ishak/CNA

Diterbitkan : 12 Dec 2024 04:55PM Dikemas Kini : 12 Dec 2024 05:09PM
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 kes rasuah berkaitan sistem visa luar negara (VLN) selepas pihak pendakwa menarik balik rayuannya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ruzima Ghazali membatalkan rayuan tersebut.

“Kami membatalkan perkara ini selepas pendakwa raya menarik balik rayuan,” katanya.

Turut bersidang bagi mendengar rayuan itu, Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.

Encik Ahmad Zahid, 71 tahun, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM42 juta (S$13.56 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Encik Ahmad Zahid juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya S$1.15 juta; RM3 juta (S$907,500); 15,000 franc Swiss (S$22,833); dan AS$15,000 (S$20,146) daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

Pada 23 Sept 2022, Mahkamah Tinggi membebaskan Encik Ahmad Zahid daripada semua 40 tuduhan selepas memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie.

Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim memberitahu mahkamah bahawa peguam negara memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan selepas mempertimbangkan dapatan hakim Mahkamah Tinggi dan dua representasi dikemukakan oleh Encik Ahmad Zahid.

Katanya lagi, pihak pendakwa mendapati tiada bukti menunjukkan Encik Ahmad Zahid menggunakan jawatan beliau secara langsung untuk menganugerahkan kontrak-kontrak tersebut.

“Bukti menunjukkan kontrak dianugerahkan sebelum responden (Ahmad Zahid) menjadi menteri dalam negeri (di bawah kerajaan Barisan Nasional). Tiada ruang salah guna kuasa berlaku,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Encik Yusaini juga berkata lanjutan kontrak melantik Ultra Kirana sebagai operator tunggal sistem VLN dibuat secara teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata Encik Ahmad Zahid mengemukakan dua surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara, masing-masing bertarikh pada 26 Jan 2023 dan 7 Feb 2024.

Encik Yusaini berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat beberapa dapatan fakta, antaranya sumber wang yang dikatakan diterima dalam kes ini, tidak disiasat dan beberapa individu yang dikatakan menjadi sumber dana dipertikaikan dari luar negara tidak dipanggil ketika siasatan mahupun ketika perbicaraan.

“Setelah mempertimbangkan representasi ini dan mengambil kira dapatan-dapatan hakim Mahkamah Tinggi, Jabatan Peguam Negara mendapati terdapat asas undang-undang dan fakta yang kukuh untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya, seperti dipetik Free Malaysia Today.

Turut hair bagi pihak pendakwa ialah Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Zander Lin, manakala Encik Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Hamidi Noh, Ahmad Zaidi Zainal dan Aiman Abdul Rahman.

Encik Ahmad Zahid ketika ditemui di luar mahkamah mengucapkan terima kasih kepada barisan peguamnya yang bekerja keras bagi memastikan dua representasi diterima pihak pembela.

Encik Hisyam memohon kepada pihak pendakwa untuk menarik balik rayuan itu berasaskan dapatan fakta semasa perbicaraan.

“Kami bersyukur pihak pendakwa menerima representasi dan memutuskan untuk menarik balik rayuan,” katanya, menurut Free Malaysia Today.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita