Skip to main content

Dunia

Mahkamah Rayuan Amerika putuskan tarif global Trump tidak sah

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Rayuan Amerika putuskan tarif global Trump tidak sah

Presiden Donald Trump berucap di sebuah masyuarat Kabinet pada Selasa 26 Ogos 2025, di Rumah Putih. (Gambar fail: AP/Mark Schiefelbein)

Diterbitkan : 30 Aug 2025 09:10PM Dikemas Kini : 30 Aug 2025 09:11PM

WASHINGTON: Mahkamah Rayuan Amerika pada Jumaat (29 Ogos) memutuskan bahawa banyak tarif Presiden Donald Trump, yang telah memporak-perandakan perdagangan global, tidak sah dan menyalahi undang-undang -- tetapi membenarkannya dikekalkan buat masa ini, memberikan beliau masa untuk mengemukakannya kepada Mahkamah Agung.

Keputusan 7-4 di Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rendah bahawa Encik Trump telah melebihi bidang kuasanya semasa mengisytiharkan kecemasan ekonomi untuk menguatkuasakan tarif yang meluas itu.

Sungguhpun demikian, para hakim membenarkan tarif itu dikekalkan sehingga pertengahan Oktober.

Keputusan itu merupakan satu tamparan hebat kepada Encik Trump, yang menggunakan kedudukannya sebagai presiden untuk mengenakan tarif sebagai sebahagian daripada dasar ekonominya.

Ia juga boleh menimbulkan keraguan terhadap perjanjian yang dimeterai Encik Trump dengan rakan-rakan perdagangan utama seperti Kesatuan Eropah (EU), dan menimbulkan persoalan tentang apa yang akan berlaku kepada berbilion dolar yang dikutip oleh Amerika Syarikat sejak tarif dikenakan jika Mahkamah Agung tidak menyokongnya.

Encik Trump pada Jumaat (29 Ogos) menyelar keputusan itu, sambil mendedahkan di platform Truth Social bahawa Mahkamah Rayuan "salah mengatakan bahawa tarif kita harus digugurkan, tetapi mereka tahu Amerika Syarikat akan menang akhirnya."

Encik Trump menambah bahawa beliau akan menentangnya "dengan bantuan Mahkamah Agung Amerika Syarikat."

Sejak kembali menyandang jawatan presiden pada Januari lalu, Encik Trump telah menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) untuk mengenakan tarif balasan ke atas hampir semua rakan dagang Amerika, dengan tahap asas 10 peratus dan kadar yang lebih tinggi terhadap berpuluh-puluh ekonomi.

Beliau juga telah mengenakan tarif berasingan terhadap Mexico, Kanada dan China berhubung dadah berbahaya yang didakwa dibawa masuk ke Amerika Syarikat.

Sumber : AP/AT/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita