Skip to main content

Dunia

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan rakyat Malaysia hidupkan semula samannya terhadap projek HSR

Mahkamah Persekutuan hari ini (27 Mei) menolak permohonan seorang rakyat Malaysia untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi menghidupkan semula samannya berhubung pembatalan projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Persekutuan tolak permohonan rakyat Malaysia hidupkan semula samannya terhadap projek HSR

Gambar fail: Bernama

Diterbitkan : 27 May 2025 10:47PM Dikemas Kini : 27 May 2025 10:50PM
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini (27 Mei) menolak permohonan seorang rakyat Malaysia untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi menghidupkan semula samannya berhubung pembatalan projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Zabariah Mohd Yusof, Abu Bakar Jais dan Hanipah Farikullah memutuskan bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan Mohd Hatta Sanuri tidak memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Hakim Zabariah, ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, berkata perkara tersebut bersifat interlokutori dan persoalan yang dibangkitkan tidak melibatkan sebarang perkara baharu undang-undang atau isu kepentingan awam.

Beliau berkata kes itu tertumpu kepada isu locus standi dan sama ada boleh diadili sedangkan ia telahpun diputuskan dalam kes terdahulu.

Mahkamah memandang serius terhadap tuntutan yang tidak berasas manakala persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak dikemukakan dengan teliti, katanya lagi, yang menolak permohonan itu tanpa perintah mengenai kos.

Keputusan itu mengakhiri usaha Mohd Hatta untuk memulakan tindakan perundangan terhadap kerajaan, dua mantan Perdana Menteri iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed serta mantan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.

Mohd Hatta memohon kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Jan lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa saman itu tidak wajar.

Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membatalkan saman Hatta pada 15 Dis 2023 selepas membenarkan permohonan kerajaan.

Mohd Hatta, yang mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia, memfailkan saman itu pada Disember 2022 menyusuli pembatalan projek HSR tersebut dan menuntut pampasan RM1 juta.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek sepanjang 350 kilometer itu selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Dis 2020.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita