Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Persekutuan tetapkan 10 hari; mulai 15 Ogos untuk rayuan akhir Najib

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Persekutuan tetapkan 10 hari; mulai 15 Ogos untuk rayuan akhir Najib

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: BERNAMA)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin (9 Mei) menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib Razak bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta (S$13 juta) dana SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat bertarikh 29 April yang disediakan kepada media dan ditandatangani oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Hafiizullaah Omar Md Salleh yang memaklumkan tarikh bagi mendengar rayuan bekas perdana menteri itu adalah pada 15 hingga 19 Ogos dan 22 hingga 26 Ogos.

Menurut surat itu, kedua-dua pihak (pembelaan dan pendakwaan) turut diarahkan supaya mengemukakan hujahan bertulis sebelum 31 Julai.

Pada 25 April, Encik Najib mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya mengenai mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng RM42 juta (S$13 juta) dana SRC International Sdn Bhd.

Antara alasan yang dibangkitkan dalam petisyen tersebut adalah Mahkamah Rayuan tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas kesemua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (S$67 juta) yang dijatuhkan ke atas Encik Najib kerana menyeleweng RM42 juta (S$13 juta) dana SRC International.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Encik Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Persekutuan merupakan jalan terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International itu.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan