Skip to main content

Dunia

Mahkamah Persekutuan bebaskan Syed Saddiq daripada 4 tuduhan kes dana Armada

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Persekutuan bebaskan Syed Saddiq daripada 4 tuduhan kes dana Armada

Mahkamah Persekutuan mengekalkan pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat tuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Jul 2026 03:20PM Dikemas Kini : 13 Jul 2026 03:25PM
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin (13 Jul) mengekalkan pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat tuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Menerusi keputusan majoriti 2-1, Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan akhir pendakwaan untuk mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Syed Saddiq, 33 tahun, manakala Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel tiga hakim memberikan keputusan bertentangan.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33 tahun, daripada empat tuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta (S$3.1 juta) yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta (S$320,000) di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020. 

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut berdepan tuduhan menyalahgunakan RM120,000 (S$38,040) milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 (S$15,850) ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

Penghakiman pada Isnin (13 Jul) dibacakan secara berasingan, dimulakan oleh Hakim Abu Bakar, diikuti Che Mohd Ruzima dan Sequerah.

Selepas ketiga-tiga hakim selesai membacakan penghakiman masing-masing, Encik Abu Bakar meminta Syed Saddiq tampil ke hadapan panel bagi menjelaskan keputusan yang diputuskan hari ini.

Menurut beliau, sabitan dan hukuman dicadangkannya bagi tuduhan kedua, ketiga dan keempat yang dihadapi Syed Saddiq tidak lagi berkuat kuasa berikutan dua lagi hakim memutuskan responden tidak bersalah terhadap keempat-empat tuduhan.

"Itulah hak mereka sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dalam sistem keadilan kita. Saya juga ingin memaklumkan bahawa walaupun kami hakim, kami juga manusia biasa. Ada masanya kami sihat dan ada masanya kami tidak sihat.

"Apabila seorang hakim tidak sihat, penangguhan sesuatu kes boleh berlaku. Ia bukan sesuatu yang luar biasa atau belum pernah berlaku. Saya harap semua pihak dapat memahaminya," katanya lagi.

Keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan itu sepatutnya disampaikan pada 30 Jun lalu, namun ditangguhkan selepas Che Ruzima mengambil cuti sakit.

Sementara itu, Encik Abu Bakar berkata panel hakim turut mengikuti perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka dan mengetahui responden mempunyai perancangan selepas keputusan hari ini.

"Kini setelah keputusan majoriti memihak kepada responden, saya berharap beliau dapat meneruskan perancangan tersebut dengan sebaik-baiknya," katanya.

Che Ruzima pula berkata sebagai hakim, mereka tidak boleh mempertahankan diri di khalayak ramai atau menjawab kenyataan mana-mana pihak dan turut menasihati pihak berkepentingan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

"Sebagai hakim, kami tidak boleh menjawab segala persepsi masyarakat atau mempertahankan diri di khalayak ramai. Oleh itu, pihak berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Bahagian Pendakwaan Wan Shaharuddin Wan Ladin kerana mengambil pendirian neutral serta mendoakan kesihatan hakim yang tidak sihat itu," katanya.

Sebaik sahaja ketiga-tiga hakim selesai menyampaikan penghakiman, ahli keluarga dan penyokong Syed Saddiq memberikan tepukan sebagai tanda sokongan.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita