Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah perintah remaja curi tabung masjid jalani khidmat masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini (17 Jan) mengenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap seorang remaja kerana cuba mencuri tabung masjid baru-baru ini yang dibicarakan di Mahkamah Majistret Selayang sebelum ini. 

Hakim Abd Halim Aman berkata  hukuman penjara dan denda ke atas Daniel Iskandar yang berusia 19 tahun sebaliknya digantikan dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid. 

Hakim turut menyarankan agar pihak masjid, pihak yang merakam dan yang menularkan video Daniel untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Daniel dan masyarakat umum demi menjernihkan keadaan. 

Abd Halim juga menegur dan mengingatkan masyarakat supaya jangan mengambil tindakan undang-undang sendiri dan mengambil iktibar daripada kes ini demi masa depan Keluarga Malaysia.

“Mahkamah menyedari akan tempoh penjara yang telah dijalani oleh tertuduh selama 10 hari dan denda RM4,000 (S$1,287) yang sudahpun dijelaskan, namun demi masa depan tertuduh serta untuk mempunyai rekod kesalahan yang bersih, keputusan ini perlu disampaikan,” katanya ketika membacakan semakan berhubung hukuman yang dijatuhkan di Mahkamah Majistret hari ini (17 Jan). 

Katanya lagi, Daniel perlu melaporkan diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh tujuh hari dari hari ini dan wajib hadir mengikut jadual yang ditetapkan. 

“Pesalah muda ini dikehendaki mematuhi setiap aktiviti atau program yang sudah ditetapkan atau lain-lain arahan oleh JKM dan hendaklah dikhususkan khidmat masyarakat itu di masjid-masjid sahaja,” katanya.

Beliau berkata perintah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 293 (1)(e) Kanun Acara Jenayah (Akta 593) dan sekiranya Daniel tidak melakukan perintah itu, pesalah muda itu boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan boleh dihukum mengikut peruntukan asal. 

Mengulas mengenai hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret, Abd Halim berkata berdasarkan hujah timbalan pendakwa raya, barisan peguam dan tertuduh serta nota catatan dan keterangan ketika perbicaraan di Mahkamah Majistret, pihaknya mendapati hukuman yang dikenakan adalah silap dan keterlaluan. 

“Pada masa yang sama hukuman itu tidak menunjukkan bentuk pemulihan dengan fakta jelas menunjukkan tertuduh adalah pesalah pertama dan telah mengaku bersalah. Apa yang dilakukannya hanyalah percubaan mencuri dan tiada kerugian yang dialami pihak masjid,” katanya.
 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan