Mahkamah Pakistan gugur waran tangkap terhadap mantan PM Imran Khan

Pegawai keselamatan dengan sebuah kenderaan yang membawa mantan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, tiba menjelang perbicaraan mahkamah di Lahore, Pakistan pada 17 Mac 2023. (Gambar: AP/K.M. Chaudhry)
ISLAMABAD: Pakistan membatalkan waran tangkap terhadap mantan perdana menteri Imran Khan selepas beliau hadir untuk perbicaraan mahkamah di ibu negara Islamabad pada Sabtu (18 Mac).
Sebelum ini, beliau tidak menghadirkan diri ke beberapa perbicaraan atas tuduhan rasuah kerana bimbang akan keselamatannya.
Meskipun bekas bintang kriket berusia 70 tahun itu hadir di mahkamah, perbicaraannya ditangguhkan ke hujung bulan ini.
Ini selepas beribu-ribu penyokong parti pembangkangnya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), bertempur dengan polis di luar mahkamah.
Keadaan orang ramai yang tidak terkawal itu mendorong para pegawai untuk melepaskan gas pemedih mata sebagai tindak balas.
Bekas pemimpin itu kemudian dibenarkan pulang selepas diberitahu untuk memastikan beliau hadir ke perbicaraan seterusnya.
Encik Khan dibelenggu beberapa kes mahkamah sejak beliau digulingkan dalam usul tidak yakin tahun lalu, sekali gus memberi tekanan kepada pemerintah perikatan yang agak goyah - yang mengambil tempatnya - untuk mengadakan pilihan raya awal.
"Mahkamah telah membatalkan waran tangkapnya setelah mencatat kehadiran Imran Khan. Perbicaraan tersebut sudah ditangguh sehingga 30 Mac," kata salah seorang peguam Encik Khan, Gohar Khan, kepada agensi berita AFP.
Encik Khan, yang menggalas jawatan perdana menteri dari 2018 sehingga 2022, sedang berdepan dengan tentangan undang-undang, termasuk yang menyebabkan percubaan gagal untuk memberkasnya pada Selasa (14 Mac).
Encik Khas pada Sabtu sepatutnya berdepan tuduhan menjual hadiah-hadiah negara yang diberikan kepadanya oleh orang-orang kenamaan luar negara semasa beliau menjadi perdana menteri.
Encik Khan bagaimanapun berkeras bahawa beliau mengikuti prosedur undang-undang dalam memperolehi hadiah-hadiah tersebut.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.