Mahkamah Pakistan bebaskan Imran Khan dengan ikat jamin

Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan tiba di Mahkamah Tinggi di Islamabad pada 12 Mei 2023. (Gambar: Aamir Qureshi/AFP)
NEW DELHI: Mahkamah Pakistan pada Jumaat (12 Mei) membebaskan mantan perdana menteri Imran Khan dengan ikat jamin.
Encik Imran ditahan awal minggu ini atas dakwaan rasuah dan penahanan beliau mencetuskan bantahan di seluruh negara.
Mahkamah Tinggi Islamabad mendengar petisyen jaminan Encik Imran dan memberinya perlindungan daripada ditahan sehingga 17 Mei.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Agung pada Khamis (11 Mei) memutuskan bahawa penahanan Encik Imran pada Selasa oleh pasukan separa tentera sebagai tidak sah.
Dalam temu bual media semasa hadir untuk perbicaraan kesnya pada Jumaat, Encik Imran menyifatkan apa yang berlaku pada dirinya sebagai "penculikan".
"Saya sedang menghadiri prosedur di Mahkamah Tinggi (Islamabad). Mereka tidak mempunyai alasan yang kuat untuk menahan saya. Saya telah diculik. Mereka hanya menunjukkan waran kepada saya ketika dalam perjalanan ke penjara.
“Nampaknya undang-undang tentera telah diisytiharkan,” katanya.
Ramai yang terkorban dan ratusan lagi cedera dalam tunjuk perasaan yang bermula pada Selasa (9 Mei) dan ketegangan terus berlaku di seluruh Pakistan.
Tunjuk perasaan berterusan meskipun pemerintah mengharamkan perhimpunan awam dan perkhidmatan internet pula masih disekat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.