Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Myanmar penjara Aung San Suu Kyi 6 tahun atas kesalahan rasuah

Anggaran Waktu Membaca:
 Mahkamah Myanmar penjara Aung San Suu Kyi 6 tahun atas kesalahan rasuah

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi yang digulingkan oleh junta tentera. (Gambar fail: Ye Aung Thu/AFP)

MYANMAR: Mahkamah di Myanmar hari ini (15 Ogos) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, setelah mendapati beliau bersalah dalam empat kes rasuah.

Demikian menurut satu sumber yang mengikuti prosiding tersebut.

Pemenang Hadiah Nobel berusia 77 tahun itu didakwa atas sekurang-kurangnya 18 kesalahan dari rasuah hingga pencabulan pilihan raya, yang membawa gabungan hukuman penjara maksimum hampir 190 tahun, lapor Reuters.

Aung San Suu Kyi menyifatkan pertuduhan-pertuduhan itu sebagai tidak masuk akal dan menafikan semuanya.

Beliau didapati bersalah hari ini menyalahgunakan dana daripada Yayasan Daw Khin Kyi - sebuah pertubuhan yang diasaskan olehnya, yang menggalak kesihatan dan pendidikan - untuk membina sebuah rumah dan menyewakan tanah milik pemerintah pada harga diskaun, menurut sumber tersebut.

Aung San Suu Kyi, yang penjara dalam kurungan seorang diri di Naypyidaw, sudah dijatuhi hukuman penjara 11 tahun bagi kes-kes lain, lapor Reuters.

Myanmar mula bergolak sejak tahun lalu apabila tentera menggulingkan pemerintah dilantik yang dipimpin oleh parti Aung San Suu Kyi, setelah ia memenangi pilihan raya umum dan mengambil tindakan keras terhadap pihak-pihak yang menentangnya.

Puluhan ribu orang dipenjara dan ramai yang diseksa, dipukul atau dibunuh, dalam apa yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Masyarakat antarabangsa sudahpun mengenakan sekatan terhadap tentera dan menolak perbicaraan sulit Aung San Suu Kyi itu sebagai tidak masuk akal.

"Ini serangan besar terhadap hak beliau (Aung San Suu Kyi), dan sebahagian daripada kempen untuk melenyapkan beliau dan parti NLD selama-lamanya," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia di Human Rights Watch, sambil merujuk kepada parti Aung San Suu Kyi yang digulingkan, iaitu Liga Demokratik Kebangsaan (NLD).

Jurucakap pemerintah tentera, Zaw Min Tun, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen hari ini.
Sumber : Agensi berita/NK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan