Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah M'sia bebaskan wanita dari tuduhan sebabkan kematian 8 remaja basikal lajak

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah M'sia bebaskan wanita dari tuduhan sebabkan kematian 8 remaja basikal lajak

Cik Sam Ke Ting dilihat dalam gambar fail yang diambil di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April 2022. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 Apr 2023 05:08PM Dikemas Kini : 11 Apr 2023 11:18PM


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa (11 Apr) melepas dan membebaskan kerani, Sam Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

Panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Hashim Hamzah dan Azman Abdullah membuat keputusan secara sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 (S$1,890) oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting, 28 tahun, selaku perayu.

Semasa membaca keputusan penghakiman, Encik Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi hanya memfokuskan pada pemandu tapi bukan kepada kumpulan lajak basikal itu.

“Berlainan dengan Mahkamah Majistret yang membuat penilaian secara maksimum dengan memfokuskan semua sudut yang mana kemalangan ini mustahil dapat dielakkan.

“Satu cara untuk mengelak kemalangan adalah kereta itu ‘terbang’ ketika melalui kumpulan basikal lajak,” katanya, dipetik daripada agensi berita Sinar Harian.

Beliau berkata, dapatan Mahkamah Majistret adalah tepat kerana tiada cara lain hendak mengelak kemalangan itu.

Dalam prosiding itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik hadir bagi mewakili Ke Ting manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Pada 18 Febuari 2017, lapan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menunggang basikal lajak, maut dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Pada 28 Mac 2017, pemandu wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal.

Ke Ting ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 tahun; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14 tahun; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16 tahun; Fauzan Halmijan, 13 tahun; Mohamad Azhar Amir, 16 tahun; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14 tahun; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 tahun dan Haizad Kasrin, 16 tahun.

Pada 28 Oktober 2019, dia dibebaskan oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan pemandu wanita itu membela diri atas tuduhan berkenaan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Ke Ting.


Pada 10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskannya.

Sehari kemudian, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan itu.

Pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret dan memerintahkan Ke Ting dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 (S$1,890).

Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan