Skip to main content

Dunia

Mahkamah M'sia batal kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu di PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah M'sia batal kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu di PRU15

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad. (Gambar fail: Agensi berita)

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Selasa (27 Jun) membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Mohd Firuz Jaffril berkata pihak pempetisyen, iaitu calon BN Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Beliau berkata walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan pilihan raya di Kuala Terengganu terbatal.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM50,000 (S$14,450) kepada pempestiyen dan membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan Amzad membuat rayuan serta memfailkan permohonan rasmi penggantungan beliau sebagai Ahli Parlimen.

Amzad diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud manakala Mohd Zubir diwakili peguam Mohd Hafarizam Harun.

Pada 3 Jan lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi.

Pengerusi UMNO Terengganu Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lepas, iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Pada PRU15, Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.

Sementara itu, Wan Rohimi berkata pihaknya akan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan secepat mungkin selepas Aidiladha.

Beliau berkata pihaknya juga akan membuat permohonan rasmi untuk menggantung keputusan mahkamah supaya Pilihan Raya Umum tidak diadakan sehingga rayuan diputuskan oleh mahkamah dalam tempoh enam bulan.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita