Skip to main content

Dunia

Mahkamah Malaysia tolak permohonan 1MDB pindah kes saman AS$6.5 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Malaysia tolak permohonan 1MDB pindah kes saman AS$6.5 bilion

Papan iklan 1MDB di tapak pembangunan Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. (Gambar: Olivia Harris/Reuters)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa (16 Apr) menolak permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memindahkan kes saman AS$6.59 bilion (S$8.9 bilion), yang difailkan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Arul Kanda Kandasamy dan bekas Pengerusinya, Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dibicarakan di hadapan hakim lain.

Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, yang membuat keputusan itu dalam bilik mahkamah, turut mengarahkan 1MDB membayar kos RM4,000 (S$1,100) masing-masing kepada Encik Arul Kanda dan Encik Mohd Irwan.

Bercakap kepada wartawan selepas itu, peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Encik Mohd Irwan berkata, memandangkan permohonan tersebut ditolak, maka perbicaraan kes berkenaan akan diteruskan pada September seperti ditetapkan sebelum ini. 

Tahun lalu, 1MDB memfailkan permohonan untuk kedua-dua saman dibicarakan di hadapan hakim yang sama atas alasan merit dan faktanya adalah serupa. 

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion (S$2.5 bilion) berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudian ditukar kepada Brazen Sky Limited investment, dan dikatakan boleh didapati dalam Dana Bridge Global.

1MDB juga mendakwa Encik Arul Kanda dan Encik Mohd Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana syarikat itu berjumlah AS$3.5 bilion (S$4.8 bilion), yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion (S$1.7 bilion) yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), pada 9 Mei 2017.

1MDB mendakwa Encik Mohd Irwan turut bersekongkol dengan Encik Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membayar jumlah yang besar iaitu RM2,905,200 (S$830,000) kepada Encik Arul Kanda, mengikut perjanjian tersebut tanpa mengira kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan ia mengalami kerugian serta kerosakan.

Justeru, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan agar membayar AS$6.59 bilion (S$8.9 bilion) bagi pelanggaran itu dan tambahan RM2.9 juta (S$830,000) daripada Mohd Irwan berhubung Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Pada 2022, syarikat itu turut memfailkan saman AS$8 bilion (S$11 bilion) terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan tujuh lagi. 

Kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Atan Mustaffa Yussof Ahmad.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita