Skip to main content

Dunia

Mahkamah Malaysia jatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap ibu kanak-kanak autistik Zayn Rayyan

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Malaysia jatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap ibu kanak-kanak autistik Zayn Rayyan

Zayn Rayyan. (Gambar: Polis Daerah Petaling Jaya/Facebook)

PETALING JAYA: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, pada Jumaat (31 Okt) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen kerana mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lalu.

Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembela gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Ismanira, 30 tahun, di akhir kes pembelaan.

Pada 21 Julai lalu, Hakim Syahliza memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes 'prima facie' terhadap wanita itu manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan sama.

Mahkamah ditangguhkan sebentar untuk membolehkan pihak-pihak terbabit menyediakan hujahan mitigasi bagi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu.

Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berdekatan antara 12.00 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.

Tuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 (S$15,510) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

PERMOHONAN TANGGUH HUKUMAN PENJARA DITOLAK

Suasana di galeri awam kemudian bertukar tegang selepas prosiding pembelaan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin sebaik sahaja Hakim Dr Syahliza Warnoh menolak permohonan ibu kanak-kanak itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya.

Suami kepada Ismanira Abdul Manaf, Zaim Ikhwan Zahari dilihat gagal mengawal emosi hingga terpaksa ditenangkan oleh beberapa ahli keluarga dan ibu bapanya.

Beliau kemudian dibawa keluar manakala Ismanira kelihatan sebak semasa mahkamah membuat keputusan itu sambil meminta suaminya bertenang.

Hakim Syahliza berkata tiada keadaan khas dan luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman terhadap wanita berkenaan.

"Setelah meneliti dan menimbangkan hujahan pembelaan dan pendakwaan, mahkamah berpandangan alasan-alasan yang dikemukakan oleh pembelaan tidak terjumlah kepada keadaan khas atau luar biasa.

“Sabitan tertuduh telah disahkan oleh mahkamah ini dan tiada sebab meyakinkan saya untuk menangguhkan hukuman penjara yang telah diperintahkan terhadap tertuduh.

"Alasan dikemukakan terutamanya berhubung penjagaan anak keduanya adalah perkara peribadi tertuduh yang masih boleh diuruskan tertuduh dan ahli keluarganya...Oleh itu, permohonan tertuduh ditolak dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dengan serta-merta," kata hakim itu.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita