Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Malaysia arah kerajaan, bekas penganalisis politik bayar ganti rugi RM9.4 juta kepada keluarga Altantuya

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Malaysia arah kerajaan, bekas penganalisis politik bayar ganti rugi RM9.4 juta kepada keluarga Altantuya

Menurut laporan New Straits Times, kerajaan Malaysia dan Abdul Razak mesti membuat pembayaran dalam tempoh 30 hari. (Gambar fail: AFP/Ho, Mongolian Consulate)

Diterbitkan : 13 Feb 2025 12:23AM Dikemas Kini : 13 Feb 2025 12:24AM
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di Malaysia mengarahkan kerajaan negara itu dan seorang bekas penganalisis politik untuk memindahkan RM9.4 juta (S$2.9 juta) dalam tempoh 30 hari, sebagai ganti rugi kepada keluarga seorang wanita Mongolia yang dibunuh.

Jumlah ini pertama kali dimaklumkan dalam keputusan mahkamah pada 2022 dan pembayaran perlu dilakukan sementara menunggu rayuan oleh kerajaan Malaysia terhadap keputusan tersebut. Rayuan itu dijadualkan pada Mei nanti.

Altantuya Shaariibuu dikatakan pernah menjadi kekasih kepada bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang menjadi penasihat kepada mantan perdana menteri Najib Razak dari tahun 2000 hingga 2008.

Pesuruhjaya Kehakiman M Sumathi dari Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa kerajaan Malaysia dan Abdul Razak mesti membuat pembayaran dalam tempoh 30 hari, lapor New Straits Times (NST).

Jumlah tersebut merangkumi 50 peratus daripada keseluruhan nilai penghakiman yang diperuntukkan, termasuk faedah sehingga kini.

Pembayaran itu mesti dimasukkan ke dalam akaun pemegang amanah peguam bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, dan hanya akan diberikan jika rayuan kerajaan pada 19 Mei nanti gagal.

Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Altantuya, berkata bahawa mahkamah telah membenarkan penangguhan bersyarat bagi pembayaran tersebut selepas permohonan bertulis dikemukakan oleh Abdul Razak dan kerajaan Malaysia.

Selain itu, Hakim Sumanthi turut memerintahkan Abdul Razak dan kerajaan Malaysia untuk membayar kos sebanyak RM25,000 (S$7,570) setiap seorang kepada plaintif dalam tempoh 30 hari.

Pada 2022, kerajaan Malaysia, Abdul Razak serta dua bekas anggota Unit Tindakan Khas – Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar – didapati bertanggungjawab secara bersama atas pembunuhan Altantuya pada 2006.

Mahkamah Tinggi ketika itu mengarahkan mereka membayar sebanyak RM5 juta (S$1.5 juta) sebagai ganti rugi atas kematiannya.

Keluarga Altantuya kemudian memohon kepada mahkamah agar keputusan itu dikuatkuasakan kerana pihak yang terlibat masih belum membayar ganti rugi memandangkan kerajaan Malaysia dan Abdul Razak sedang membuat rayuan terhadap keputusan pada 2022 itu.

Menurut saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, model itu pernah bekerja dengan Abdul Razak sebagai penterjemah dalam urusan pembelian kapal selam Malaysia daripada sebuah syarikat milik pemerintah Perancis pada 2002.

Ketika itu, Najib merupakan Menteri Pertahanan Malaysia manakala Abdul Razak merupakan perantara dalam perjanjian tersebut, yang kini disiasat atas dakwaan rasuah di kedua-dua negara, menurut Bloomberg.

Dalam kes pembunuhan berprofil tinggi ini, Altantuya ditembak mati oleh Azilah dan Sirul sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan C4 gred tentera di sebuah kawasan terpencil berhampiran Empangan Tasik Subang di Puncak Alam, Shah Alam pada 18 Oktober 2006.

Azilah dan Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhannya.

Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengurangkan hukuman mati Azilah kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan. Bapanya, Shaariibuu, telah menulis surat sokongan bagi permohonan Azilah.

Sirul pula berada di Australia setelah melarikan diri ketika dibebaskan dengan ikat jamin pada 2014.

Abdul Razak pernah dibicarakan atas tuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu tetapi akhirnya dibebaskan.

Keluarga Altantuya telah memfailkan saman sivil bernilai RM100 juta (S$30.3 juta) terhadap dua bekas anggota polis, Abdul Razak, dan kerajaan Malaysia pada tahun 2007, dengan mendakwa bahawa kematian model itu menyebabkan mereka mengalami kejutan mental serta trauma psikologi. Mereka juga menuntut pampasan serta ganti rugi.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 2022 memberikan RM5 juta sebagai ganti rugi kepada keluarganya.

Dalam permohonan pada 2007, mereka turut menuntut faedah ke atas jumlah ganti rugi serta kos.
 
Sumber : CNA/AZ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan