Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah luluskan Najib pinda tarikh pelepasan, pemulangan pasport untuk ke S'pura

Tiga hakim Mahkamah Tinggi berasingan di Malaysia hari ini (26 Okt) membenarkan permohonan Najib Razak untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang dijangka akan melahirkan anak kedua pada awal November.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah luluskan Najib pinda tarikh pelepasan, pemulangan pasport untuk ke S'pura

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 26 Oct 2021 12:58PM Dikemas Kini : 26 Oct 2021 01:05PM

KUALA LUMPUR: Tiga hakim Mahkamah Tinggi berasingan di Malaysia hari ini (26 Okt) membenarkan permohonan Najib Razak untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang dijangka akan melahirkan anak kedua pada awal November.

Tiga hakim iaitu Mohamed Zaini Mazlan, Collin Lawrence Sequerah dan Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Najib selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Mohamad Mustafa P. Kunyalam dan Shafiq Hasim.

Najib, 68 tahun, selaku pemohon yang memfailkan notis usul pada 21 Oktober lalu, memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober sehingga 22 November kepada 25 Oktober sehingga 6 Disember ini untuk melawat Nooryana di Singapura.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam afidavit sokongannya berkata beliau juga diamanahkan untuk membantu jentera parti UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan memandangkan Presiden Parti UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa itu, akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakang.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini, peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas perdana menteri itu memfailkan notis usul untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura dan akan berangkat ke negara itu pada 21 November, sehari selepas PRN Melaka.

Najib dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Encik Muhammad Shafee berkata sepatutnya 29 dan 30 Nov ditetapkan untuk sambung bicara, namun ia akan diganti dengan tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian berikutan anak guamnya masih berada di Singapura pada waktu itu.

Sementara itu Encik Muhammad Shafee turut memaklumkan kepada Hakim Sequerah yang mendengar perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion, bahawa tarikh perbicaraan kes pada 9 hingga 11 November ini diteruskan seperti biasa sebelum anak guamnya berangkat ke Singapura pada 21 November.

Di hadapan Hakim Muhammad Jamil, peguam itu memaklumkan bahawa Najib akan kembali ke negara ini pada 5 Disember dan akan memulangkan semula pasportnya kepada mahkamah pada 6 Disember.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Najib bakal dibicarakan bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah berhubung enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan