Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Libya diserang lelaki bersenjata, rayuan anak Gaddafi dihentikan

Mahkamah di Libya diserang sekumpulan lelaki bersenjata, beberapa jam sebelum Seif al-Islam Gaddafi dijadual buat permohonan untuk layak bertanding dalam pilihan raya presiden.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Libya diserang lelaki bersenjata, rayuan anak Gaddafi dihentikan

Gambar fail Seif al-Islam (kiri) diterbitkan pada 14 Nov 2021. (Gambar: Facebook/Suruhanjaya Tinggi Nasional Pilihan Raya Libya menerusi AFP)AFP)

Diterbitkan : 26 Nov 2021 11:14PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 11:19PM

TRIPOLI: Pemerintah perpaduan Libya pada Jumaat (26 Nov) mengecam serangan ke atas mahkamah menjelang rayuan Seif al-Islam Gaddafi, anak lelaki bekas pemimpin diktator negara itu yang dibunuh, Muammar Gaddafi. Ini selepas dia dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya presiden.

Pilihan raya pada 24 Disember itu diadakan ketika Libya berusaha untuk membuka lembaran baru susuli keganasan selama sedekad sejak pemberontakan yang disokong NATO menggulingkan dan membunuh Gaddafi pada 2011.

Suruhanjaya pilihan raya Libya pada Rabu lalu mengumumkan penolakan pencalonan Seif, yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan jenayah perang.

Seif adalah antara 25 daripada 98 calon yang permohonannya untuk bertanding ditolak kerana tidak mematuhi peruntukan undang-undang pilihan raya.

Semua pemohon yang tidak berjaya diberi masa 48 jam untuk membuat rayuan di mahkamah.

Pada pagi Khamis (25 Nov), "sekumpulan penjenayah" melancarkan serangan "menjelikkan" ke atas mahkamah di bandar selatan Sebha, sehingga memaksa bangunan itu ditutup, hanya beberapa jam sebelum Seif dijadual membuat rayuan, menurut satu kenyataan pemerintah.

Ia telah mengarahkan kementerian dalam negeri dan undang-undang untuk menyiasat serangan itu.

Kumpulan penyerang itu memaksa semua kakitangan keluar dari bangunan mahkamah "dengan mengugut untuk melepaskan tembakan" beberapa jam sebelum perbicaraan rayuan, kata peguam Seif, Khaled al-Zaydi.

“Tindakan ini menjadi penghalang kepada proses pilihan raya,” katanya dalam video yang disiarkan di media Libya.

Misi PBB ke Libya, UNSMIL, yang mengawasi usaha untuk mencapai huraian politik di negara itu sejak gencatan senjata tahun lalu, berkata ia "bimbang" terhadap serangan yang dilaporkan.

"UNSMIL mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan berkaitan pilihan raya dan menekankan lagi bahawa proses pilihan raya mesti dilindungi," tulisnya di Twitter.

Senarai muktamad calon akan diterbitkan pada awal Disember, setelah selesai pengesahan dan rayuan.

Sumber : AFP/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa