Mahkamah kekalkan 15 Ogos rayuan terakhir Najib bagi kes SRC International
(Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Usaha terakhir mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta (S$13.1 juta) akan diteruskan bulan depan di Mahkamah Persekutuan seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahara Wan Yusoff dan Siti Hajar Mustaffa.
Pada Selasa (26 Jul), Encik Najib dilaporkan memberhentikan dengan serta-merta Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya dalam rayuan-rayuan jenayah membabitkan dana SRC International.
Beliau kemudian melantik peguam Hisyam Teh Poh Teik dari Tetuan Hisyam sebagai peguam utamanya, manakala Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam dari Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguam barunya.
Pada Mei lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta (S$13.1 juta) dana SRC International.
Encik Mohd Ashrof berkata mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan baru Najib untuk menangguhkan prosiding rayuan itu yang dijadualkan selama 10 hari mulai 15 Ogos.
Beliau berkata mahkamah juga mengarahkan supaya prosiding rayuan utama dijalankan secara fizikal dan kedua-dua pihak perlu menyenaraikan semua rujukan kepada rekod rayuan bagi memastikan prosiding di Mahkamah Persekutuan berjalan lancar.
“Hari ini (29 Jul) pengurusan kes bagi permohonan bukti baru yang difailkan oleh peguam Najib sebelum ini daripada Shafee & Co. Kemudian, pindaan kepada usul tersebut untuk bukti baru.
“Kemudian isu pertukaran peguam untuk rayuan utama. Mahkamah Persekutuan telah memaklumkan bahawa tarikh yang ditetapkan dari 15 hingga 26 Ogos dikekalkan. Permohonan bukti baru akan didengar juga pada 15 Ogos bersama-sama rayuan utama,” katanya.
Usul untuk bukti baru merujuk kepada permohonan Encik Najib pada 7 Jun untuk mengemukakan bukti lanjut kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan atas dakwaan hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali ada kaitan dengan kes melibatkan bekas perdana menteri itu.
Encik Mohd Ashrof berkata firma Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) ingin memohon lanjutan masa untuk memfailkan penghujahan dan akan menulis kepada mahkamah berhubung perkara itu dan pemfailan penghujahan bagi keterangan baru dibenarkan dilanjutkan sehingga 8 Ogos.
Mengenai isu pertukaran peguam, beliau berkata ZIST sudahpun menulis surat rasmi pada 26 Julai memohon penangguhan usul membabitkan bukti baru dan juga rayuan utama.
"ZIST juga akan membuat permohonan sama untuk menangguhkan kedua-dua perkara itu di mahkamah terbuka di Mahkamah Persekutuan pada 15 Ogos," katanya.
Bagi isu permohonan menggunakan khidmat Peguam Diraja, beliau berkata ZIST mengesahkan tiada rayuan difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Julai lalu itu.
Prosiding hari ini (29 Jul) turut dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram dan peguam baru Encik Najib - Hisyam, Liew, Rueben serta Muhammad Shafee Abdullah (peguam Encik Najib sebelum ini).
Pada 8 Dis 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Encik Najib serta denda RM210 juta (S$65.3 juta) yang dikenakan ke atasnya.
Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, turut menolak rayuan Encik Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.
Mahkamah Persekutuan adalah jalan terakhir Encik Najib untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara dalam kes SRC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.